Projek sakit SMK Bertam Putra diberi perhatian

- Advertisement -

ANTARA agenda saya di Kepala Batas semalam adalah untuk melihat sendiri keadaan Sekolah Menengah Kebangsaan Bertam Putra yang telah dikategorikan sebagai projek sakit.

Biarpun kerja-kerja infrastruktur sudah mencecah kira-kira 86 peratus, namun kini pembinaan yang dimulakan pada April 2018 ini bagaikan tidak bergerak, malah laporan menunjukkan kurang satu peratus kemajuan pembinaan di tapak sejak Mei hingga kini.

Dalam taklimat bersama Kementerian Pendidikan Malaysia bersama pihak kontraktor pagi semalam, mereka memaklumkan antara kekangan sehingga menyebabkan projek ini dikategorikan sebagai sakit ialah penularan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan, kekurangan tenaga kerja dan pemaju tidak mampu menampung peningkatan harga bahan binaan.

Justeru saya telah meminta pihak terlibat untuk membentangkan pelan pemulihan dalam masa terdekat, yang mana saya amat berharap ia bakal menjadi satu panduan kepada fasa baharu pembinaan sekolah ini sehingga ia berupaya disiapkan seawalnya, jika boleh menjelang penghujung tahun ini. Insya-Allah

Isu projek sakit SMK Bertam Putra ini cukup dekat dengan saya, bukan sahaja kerana ia berada di kawasan saya, lebih dari itu ia menyebabkan satu kekangan kepada ibu bapa di kawasan ini yang terpaksa menghantar anak mereka bersekolah di lokasi yang agak jauh dari kediaman.

Besar sekali harapan saya untuk melihat Keluarga Kepala Batas dapat menikmati manfaat pembangunan ini apabila ia siap kelak, saya akan cuba usahakan sehabis baik bagi memastikan hasrat ini terlaksana, saya akan bantu cari jalan.

Semoga ikhtiar dan usaha ini dipermudahkan demi manfaat Keluarga Kepala Batas. Insya-Allah

Turut hadir bersama pada sesi pagi ini, En. Noor Azman bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha TKSU (Perancangan & Pembangunan) Kementerian Pendidikan Malaysia, dan Dato’ Azman bin Ibrahim, Pengarah Pembangunan Pulau Pinang ICU JPM.

YB DATUK SERI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan – HARAKAHDAILY 22/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -