Selangor semarak kempen PAS Pilihanku, kibaran Jalur Gemilang

- Advertisement -

SUNGAI BESAR: Pelancaran Kempen PAS Pilihanku 4.0 dan Kibaran Jalur Gemilang PAS Negeri Selangor telah berlangsung dengan penuh kemeriahan pada majlis di Markaz PAS Kawasan Sungai Besar, di sini semalam.

Majlis perasmian ini disempurnakan oleh al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin dengan turut dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Timbalan-timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor.

Mereka ialah Ustaz Mohd Shafie Ngah, Ustaz Noor Najhan Mohamad Salleh dan Dr Mohd Fuad Mohd Salleh, serta Yang Dipertua PAS Sungai Besar, Ustaz Mohd Fadzin Taslimin selaku tuan rumah dan Yang Dipertua PAS Kawasan-kawasan seluruh Selangor.

Majlis dimulakan dengan perbarisan lintas hormat daripada Jabatan Amal Malaysia Selangor dengan kekuatan 28 anggota dan gimik pelancaran pula dilakukan 22 kanak-kanak membawa dulang berisi borang keahlian PAS baharu.

Pembawaan 22 dulang itu adalah mewakili 22 kawasan dengan jumlah keahlian 1,091 permohonan baharu diterima setakat tempoh kempen PAS Pilihanku 4.0 ini.

Penggunaan dron anak tempatan turut menjadi sebahagian gimik pelancaran bagi membawa bunting yang dilepaskan oleh Tuan Guru Hashim, di mana majlis turut dihiasi dengan kehadiran 300 jentera bermotosikal ARC Selangor.

Tuan Guru Dato’ Hashim dalam ucapannya berharap semua ahli PAS memperkemaskan jati diri terlebih dahulu sebelum berada di kepimpinan setiap peringkat yang tentunya berdepan pelbagai cabaran.

Beliau juga mengingatkan semua bahawa kehadiran PAS dalam politik tanah air adalah untuk menerangi kegelapan masyarakat serta menyeru kepada penyatuan ummah. – HARAKAHDAILY 22/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -