Terengganu FC perlu perbaiki penyudah yang lemah

Foto daripada Facebook Terengganu FC.
- Advertisement -

KUANTAN: Aspek tindakan penyudah yang lemah merupakan antara yang perlu diperbaiki oleh pasukan Terengganu FC bagi mengelakkan keciciran mata dalam aksi Liga Super.

Ketua Jurulatih Terengganu FC Nafuzi Zain berkata walaupun menang 2-1 ke atas Sri Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini malam tadi, sentuhan penyudah di depan gawang yang kurang tajam menyebabkan banyak peluang keemasan dibazirkan.

“Sentuhan penyudah tumpul menjadi faktor Terengganu tercicir mata pada beberapa perlawanan sebelum ini. Tiada guna jika kami bermain dengan cantik tetapi tewas.

“Seperti perlawanan hari ini (semalam), pemain kami mempunyai banyak peluang tetapi gagal menjaringkan gol awal dan dengan satu kesilapan mudah, Sri Pahang terlebih dahulu berjaya mendahului,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan itu.

- Advertisement -

Pada perlawanan itu, Terengganu meleburkan rekod tanpa kalah lima perlawanan Sri Pahang walaupun Tok Gajah terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-47 menerusi Manuel Federico Hildalgo.

Terengganu berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-72 menerusi tandukan Habib Haroon Saaed sebelum jaringan Petrus Shitembi tiga minit sebelum tamat perlawanan membolehkan mereka mencatatkan kemenangan.

Nafuzi berkata dalam perlawanan malam tadi, walaupun bolos terlebih dahulu, semangat juang dan kerjasama pasukan membolehkan mereka bangkit sehingga berjaya menyamakan kedudukan, menjadikan pemain lebih yakin untuk terus mengasak pasukan lawan.

Selepas 16 perlawanan, Terengganu FC kini di tangga keempat mengumpul 26 mata sementara Sri Pahang yang telah mengharungi 17 aksi di kedudukan kelima dengan 21 mata.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Interim Sri Pahang Datuk Dollah Salleh menyifatkan permainan secara terlalu berhati-hati ‘menghukum’ anak buahnya sehingga memberikan ruang kepada lawan untuk menguasai bahagian tengah dan hadapan.

“Apabila terlalu berjaga-jaga, pemain lebih banyak turun ke bawah yang membuka ruang kepada pihak lawan selain menyebabkan kami kurang melakukan serangan.

“Memang ada perancangan untuk bertahan tetapi tidaklah terlalu ke bawah dan apabila peluang ini diperoleh pemain lawan yang bagus, mereka sudah pasti dapat menghasilkan gol,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -