Pecah amanah: Pihak berkuasa diharap jalan tugas secara telus

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Markas Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS) berharap pihak berkuasa dapat menjalankan tugas secara telus dan tegas dalam menjatuhkan hukuman setimpal kepada individu yang didapati bersalah pecah amanah.

Ketua Lajnah Siasah dan Penerangan MARSIS, Mohd Zulfikaar Azizi Aliakbar berkata isu pecah amanah dilihat semakin berleluasa kebelakangan ini.

- Advertisement -

“Terlalu banyak kes yang boleh dilihat dalam portal berita sama ada yang melibatkan penyelewengan dana berjuta ringgit sehinggalah projek besar yang menelan kos berbilion ringgit, namun tidak berjaya diselesaikan sehingga kini.

“Isu ini dilihat semakin membimbangkan, lebih-lebih lagi apabila antara kes yang hangat dibicarakan adalah melibatkan pemimpin parti politik tertentu,” katanya dalams atu kenyataan, semalam.

Mohd Zulfikaar Azizi Aliakbar

Akibat daripada kes sedemikian, kata Mohd Zulfikaar Azizi, dikhuatiri rakyat hilang kepercayaan terhadap ahli politik dan orang atasan jika ia semakin berlarutan dan tiada jalan penyelesaian.

Katanya, MARSIS menganggap perbuatan pecah amanah adalah suatu perbuatan terkutuk dan sewajarnya mendapat hukuman yang berat.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada, khususnya kepada syarikat besar yang mendapat projek kerajaan. – HARAKAHDAILY 19/8/2022

- Advertisement -