Israel didesak jangan halang tugas pertubuhan kemanusiaan Palestin

Agensi PBB dan AIDA mendesak Israel agar tidak menghalang NGO hak asasi manusia dan kemanusiaan Palestin daripada meneruskan tugasan.
- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

JERUSALEM: Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Persatuan Agensi Pembangunan Antarabangsa (AIDA) yang bekerja di Wilayah Palestin yang diduduki hari ini menggesa Israel membenarkan pertubuhan hak asasi manusia dan kemanusiaan Palestin meneruskan kerja mereka.

- Advertisement -

Pagi ini, pasukan pendudukan Israel menceroboh, menggeledah dan menutup pejabat tujuh pertubuhan hak asasi manusia dan kemanusiaan Palestin di Ramallah di Tebing Barat yang diduduki dan harta mereka telah dirampas dan dimusnahkan atas arahan tentera yang menutup pejabat ditinggalkan di premis itu.

Menurut Palestine News & Info Agency, PBB dan AIDA dalam satu kenyataan berkata, pihak Israel tidak memberikan sebarang bukti kukuh kepada Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau rakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang bekerja di Wilayah Palestin yang diduduki untuk menyokong penunjukan ini.

“Kami mengulangi kenyataan November 2021 kami iaitu perundangan menentang keganasan mesti selaras dengan kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa, khususnya, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia, yang merangkumi penghormatan penuh terhadap hak kebebasan berpersatuan dan bersuara.

Ia tidak boleh digunakan untuk hak asasi manusia dan kerja kemanusiaan yang sah, keluasan perundangan Anti-Keganasan Israel 2016 dan kesannya terhadap anggapan tidak bersalah menimbulkan kebimbangan serius di bawah undang-undang antarabangsa,” kata agensi PBB dan AIDA.

Sementara relief web melaporkan agensi PBB dan AIDA menggesa Israel mengelak daripada sebarang tindakan yang akan menghalang pertubuhan bukan kerajaan dan kemanusiaan daripada meneruskan kerja kritikal hak asasi manusia, kemanusiaan dan pembangunan mereka di Wilayah Palestin yang diduduki.

Percubaan penutupan pejabat organisasi ini merupakan siri tindakan terbaru oleh Israel yang mengehadkan lagi keupayaan hak asasi manusia, kerja kemanusiaan dan pembangunan di Palestin yang menjejaskan semua institusi yang bekerja untuk mempromosikan hak asasi manusia, pembangunan dan penyampaian bantuan. – HARAKAHDAILY 19/8/2022

- Advertisement -