Misi kebajikan Orang Asli ke Dewan Negara

Diperjuangkan Senator wanita Kelantan

- Advertisement -

SENATOR Dr. Wan Martina Wan Yusoff yang saya kenal adalah tokoh wanita Kelantan yang hatinya sentiasa dekat dengan hal kebajikan Orang Asli. Beliau adalah seorang doktor perubatan yang menjadi aktivis kebajikan Orang Asli sehinggalah kini menjadi Senator, Ahli Dewan Negara yang istiqamah memperjuangkan kemaslahatan Orang Asli.

Program beliau bersama NGO Misi Kembara Dakwah (MKD) saban tahun menyantuni Orang Asli di Kelantan sudah sekian lama. Alhamdulillah saya pernah sekali berpeluang menyertai satu program bersama MKD di satu perkampungan Orang Asli di Kelantan.

Kini apabila telah menjadi Ahli Dewan Negara, suara demi kepentingan Orang Asli telah dibawa ke dalam sidang Dewan. Dalam sidang Dewan Negara Khamis lepas , 11 Ogos 2022 , beliau mengemukakan soalan kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar mengenai agihan peruntukan untuk jalan luar bandar terutama untuk ke kawasan pedalaman Gua Musang dan peruntukan bekalan air khususnya untuk masyarakat Orang Asli.

Akhirnya soalan yang dikemukakan beliau dijawab dengan menyatakan bahawa di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) Kementerian melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah diluluskan peruntukan berjumlah RM40 juta bagi membina, menaiktaraf, membaikpulih dan menyelenggara jalan di perkampungan Orang Asli.

Pada tahun 2021 dan 2022 di bawah Rolling Plan 1 dan Rolling Plan 2 RMKe-12, JAKOA telah melaksanakan projek jalan perhubungan di perkampungan Orang Asli Gua Musang yang keseluruhan berjumlah RM 1.31 juta seperti berikut:

1. Membina jalan premix di Perkampungn Orang Asli (KOA) Jias dan Langsat (Kos RM150,000).

2. Membina jalan premix dan menaiktaraf serta menyelenggara jalan sedia ada di KOA Perlug (Kos RM400,000).

3. Kerja-kerja Menaiktaraf Jalan Perhubungan di Pos Gob, Gua Musang, Kelantan (Kos RM60,000).

4. Membaikpulih jalan KOA Bihai Lama (Kos RM350,000).

5. Membaikpulih jalan KOA Piyel (Kos RM350,000).

Selain itu, YBM Menteri menambah JAKOA juga telah diluluskan peruntukan bagi melaksanakan Projek Membina Dan Menyiapkan Jalan Perhubungan Desa (JPD) Kuala Betis – Pos Bihai – Pos Belatim – Pos Balar – Pos Hau – Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan sepanjang 94 kilometer dengan kos berjumlah RM190.0 juta. Projek ini dijangkakan akan dilaksanakan pada awal tahun 2023 dan siap pada tahun 2025.

Manakala bagi projek bekalan air terawat di perkampungan Orang Asli pula, bermula di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10), Kerajaan telah meluluskan peruntukan pembangunan dengan kos keseluruhan berjumlah RM290.0 juta. Sehingga tahun 2022, JAKOA telah membelanjakan RM173.7 juta bagi kerja-kerja membina, menaiktaraf, membaikpulih dan menyediakan bekalan air terawat di perkampungan Orang Asli di 353 KOA.

Seterusnya dijelaskan bahawa sehingga bulan Julai 2022, daripada 853 buah KOA, terdapat 145 buah KOA lagi yang belum mempunyai bekalan air terawat. JAKOA akan mempergiatkan usaha dan menjalin kerjasama bersama rakan sinergi seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Mineral dan Geosains dan agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan KOA menerima bekalan air terawat.

Selain itu, di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB), terdapat satu projek yang sedang dilaksanakan di bawah Kementerian ini iaitu  membina Jalan dari Jambatan Bertam Ke Jalan D235 Gua Musang, Kelantan.

Projek ini telah diluluskan di bawah RP-1, RMKe-12 dengan kos bernilai RM10,000,000. Pihak JKR Malaysia telah dilantik sebagai Agensi Pelaksana bagi projek ini dan kerja-kerja telah bermula pada 28 Mac 2022 dan dijangka dapat disiapkan pada 25 Februari 2024.

Projek ini merupakan kesinambungan bagi melengkap akses jalan perhubungan satu lagi projek di bawah Kementerian ini iaitu Jambatan dari Kg. Bertam Baru Kg. Bertam Lama, Gua Musang, Kelantan yang telah disiapkan pada Disember 2021 dengan kos bernilai RM36,000,000. 

Kementerian Pembangunan Luar Bandar juga melalui Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) sentiasa memfokuskan peluasan liputan bekalan air bersih dan terawat kepada penduduk luar bandar termasuk masyarakat Orang Asli. Kementerian ini melaksanakan projek BALB Sistem Retikulasi yang membekalkan bekalan air terawat daripada sistem bekalan air Pihak Berkuasa Air Negeri (PBAN) kepada penduduk luar bandar.

Manakala bagi kawasan yang tidak ekonomik atau terlalu jauh daripada sistem perpaipan bekalan air sedia ada PBAN, projek BALB Sistem Alternatif seperti air bukit, air tandak, telaga dan lain-lain dilaksanakan untuk menyediakan bekalan air selamat atau bersih kepada penduduk luar bandar termasuk masyarakat Orang Asli.

Bagi kawasan Gua Musang, Kerajaan telah meluluskan Projek BALB Kampung Orang Asli RPS Kuala Betis pada RP2 RMK12 tahun 2022 dengan kos keseluruhan berjumlah RM14.0 juta.

Skop projek ini adalah menaiktaraf sistem retikulasi di kawasan Kuala Betis termasuk naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Panggung Lalat, pembinaan tangki menara dan penyambungan paip air ke kawasan yang belum menerima bekalan di kawasan kampung orang asli RPS Kuala Betis.

Projek ini dijangka akan bermula pada tahun 2023 selepas siap reka bentuk dan memberi manfaat kepada lebih 600 akaun baharu dan 400 akaun sedia ada. 

Saya berfikir kenapa soalan begini ditanya oleh YB Senator adalah supaya pihak lain boleh memainkan peranan agar apa yang diumumkan dapat diikuti serta dipastikan sampai tujuan inisiatif-inisiatif kerajaan tersebut bagi kemaslahatan Orang Asli.

Beliau sebagai Senator yakni Ahli Dewan Negara telah mencetus persoalan agar maklumat ini sampai khalayak awam sepertinya yang benar-benar ambil berat mengenai Orang Asli. Maka khalayak awam seperti NGO , pemimpin masyarakat Orang Asli dan sesiapa sahaja dalam kalangan orang awam boleh memainkan peranan semak imbang atas pelaksanaan program-program kerajaan untuk Orang Asli.

Semoga maklumat yang didedahkan ini dimanfaatkan secara positif oleh kita semua bagi memastikan kebajikan Orang Asli terus dipelihara dan pembangunan untuk mereka diberi keutamaan sewajarnya.

Terima Kasih YB Senator ‘Kak Na’ atas perhatian dulu kini dan seterusnya untuk Orang Asli Kelantan khususnya dan Malaysia serta di mana-mana saja umumnya. Semoga dapat bertemu lagi dalam program MKD seterusnya kelak.

ZIKRULLAH ISMAIL
Darulnaim Research Centre
17 Ogos 2022 – HARAKAHDAILY 17/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -