Kebersihan: Kelantan cadang mohon tambahan RM5 juta

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan bercadang untuk memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan Persekutuan sebanyak RM5 juta untuk prasarana kebersihan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin.

Beliau berkata peruntukan itu bagi menyediakan prasarana kebersihan seperti jentera, pekerja, tempat pelupusan sampah dan sebagainya, berikutan kos pengurusan yang tinggi.

Katanya, pada masa ini kerajaan negeri terpaksa membelanjakan sebanyak RM10 juta hanya untuk pengurusan sampah membabitkan kira-kira 1.2 tan sehari di seluruh negeri.

- Advertisement -

“Sekiranya peruntukan ini diluluskan, ia akan menjadikan peruntukan untuk kebersihan prasarana di Kelantan tahun depan berjumlah RM16 juta berbanding peruntukan tahun ini sebanyak RM11 juta.

“Kita akui setakat ini ada beberapa kelemahan membabitkan kebersihan di negeri ini termasuk jadual kutipan sampah, oleh itu, kita berharap peruntukan tambahan ini dapat diluluskan untuk melancarkan dan meningkatkan lagi prestasi kebersihan di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Kelantanku Bersih dan Perasmian Zon Bersih, Indah dan Ceria Peringkat Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI), di sini hari ini, yang turut dihadiri Yang Dipertua MDKPI Mohd Anis Hussein.

 Katanya kerajaan negeri telah melantik pihak swasta untuk menguruskan proses kebersihan termasuk kutipan sampah membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) Kota Bharu dan bermula tahun ini ia diperluas di PBT Ketereh, Pasir Mas, Machang dan Pasir Puteh

Menurutnya, terdapat perubahan positif selepas pelaksanaan tersebut dan beliau tidak menolak kemungkinan untuk langkah itu dijalankan di PBT lain.

Terdahulu, Izani melancarkan ‘I Saw Tower’ iaitu kamera litar tertutup (CCTV) yang merupakan inisiatif MDKPI bagi merakam perbuatan membuang sampah di luar tong sampah dan sebarang kesalahan lain berkaitan. – BERNAMA

- Advertisement -