UMMAH gesa tindakan tegas terhadap Baby Shima

Baby Shima pernah muncul dengan imej bertudung pada tahun 2019.
- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menggesa agar tindakan dikenakan terhadap penyanyi dangdut, Baby Shima yang dikatakan membuat aksi persembahan nyayian dan berpakaian sehingga mencolok mata di khalayak awam, di sebuah gedung beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengerusi (UMMAH), Zai Mustafa berkata, segala budaya hiburan yang ditonjol dan dipersembahkan oleh Baby Syima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli, 30, adalah bertentangan dengan tingkah laku, adat ketimuran dan Islam yang merupakan agama rasmi di negara ini.

- Advertisement -

Beliau menegaskan, persembahan penyanyi itu merupakan suatu promosi kepada budaya yang tidak sihat yang mana ia boleh menyumbang kepada kerosakan masyarakat dalam negara ini.

Tambahnya, bagi pihak penganjur dan Baby Shima itu sendiri adalah lebih baik dapat memikirkan perkara ini sebaik-baiknya kerana banyak lagi hiburan-hiburan yang berunsurkan keagamaan, kekeluargaan dan hiburan yang boleh menonjolkan budaya timur dan adat resam yang lebih baik ditonjolkan daripada menonjolkan perkara negatif sedemikian.  

Ketika dihubungi HarakahDaily, Zai memberitahu, tindakan yang sewajarnya perlu dikenakan agar Baby Shima dan artis lain-lain tidak lagi melakukan aksi seperti itu di khalayak umum pada masa hadapan.

“Kita menuntut pihak penganjur dan empunya badan iaitu Baby Shima supaya memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana telah membuat suatu persembahan yang menjengkelkan dan tidak memberi contoh tauladan yang baik kepada  ibu bapa, anak-anak dan golongan anak muda. 

“Kita juga memohon kepada pihak berkuasa tempatan agar menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan hiburan iaitu hiburan yang tidak melampaui batas, hiburan yang boleh memberikan kebaikan kepada masyarakat tetapi bukannya hiburan yang boleh merosak dan melalaikan masyarakat,” tegasnya. 

Zai Mustafa

Di samping itu, tindakan oleh pihak penguatkuasa Agama Wilayah Persekutuan adalah diperlukan untuk menyiasat perkara ini agar perkara sama tidak berulang kembali.

Sekiranya ada tindakan-tindakan yang berlawanan ataupun tindakan yang boleh dikenakan dengan sabit kesalahan, maka ia perlu diambil tindakan. 

Justeru, katanya lagi, pihak berkuasa berkenaan juga perlu memberikan amaran yang keras kepada pihak penganjur dan juga kepada pihak yang terlibat dalam pertunjukan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau turut memohon agar masyarakat awam dan umat Islam di negara ini supaya bersatu menolak budaya-budaya yang tidak memberikan manfaat kepada anak-anak, generasi muda dan ibu bapa.

“Seandainya kita masyarakat Melayu yang beragama Islam dan masyarakat-masyarakat lain yang bukan beragama Islam bersatu menolak budaya-budaya buruk dalam kehidupan masyarakat, insya-Allah kita dapat mengongkong budaya-budaya yang tidak seharusnya ditonjolkan dalam budaya masayarakat kita ini,” katanya

Terdahulu, pada tahun 2019, Baby Shima dilaporkan pernah muncul dengan penampilan bertudung, sambil menyatakan bahawa dia memang ada niat untuk kekal dengan imej tersebut, namun menambah bahawa kalau boleh dia mahu berhijab apabila hati, mental dan fizikalnya sudah bersedia sepenuhnya. – HARAKAHDAILY 16/08/2022

- Advertisement -