Cadangan RCI siasat skandal LCS dibawa ke Kabinet esok

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berjanji akan membawa cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal pembelian Kapal Tempur Pesisir (LCS) ke Kabinet, esok.

Beliau menyatakan komitmennya berhubung isu enam LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sehingga kini tiada satu pun dapat disiapkan.

- Advertisement -

“Saya beri jaminan kepada YB (Yang berhormat) selepas ini, saya akan bawa ke Kabinet. Ini pandangan Dewan Negara walaupun bukan semua kerana ada ahli yang tidak bersetuju penubuhan RCI ini.

“Ini menjadi tanggungjawab saya untuk bawa ke Kabinet, Rabu ini (esok) dan saya akan lakukan,” katanya menjawab celahan Senator Datuk Razali Idris ketika menggulung perbahasan usul berkaitan projek LCS di Dewan Negara, hari ini.

Usul itu dikemukakan Senator Lim Hui Ying mengikut Peraturan Mesyuarat 17 (1) berkaitan isu berkepentingan awam yang memerlukan segera dibahaskan.

Seramai 10 Ahli Dewan Negara, termasuk Senator Mohd Apandi Mohamad dan Senator Dato’ Ahmad Yahaya, mengambil bahagian dalam perbahasan kira-kira sejam itu. Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Hishammuddin turut menegaskan bahawa bahawa Kabinet telah bersetuju dengan Pelan Pemulihan Projek LCS yang membenarkan tempoh mobilisasi dilaksanakan selama enam bulan.

Menurutnya, ini bagi membolehkan rundingan dibuat dengan Pengeluar Produk Tulen (OEM) dan vendor tempatan, seterusnya memuktamadkan perancangan perolehan LCS seperti yang diperlukan oleh TLDM.

“Sekarang bukan masa untuk mencari salah siapa dan menuduh kelewatan pihak yang terbabit. Saya nak melihat ke hadapan dan projek ini diteruskan.

“Siapa yang salah perlu dibawa ke muka keadilan dan saya beri jaminan perancangan yang dibuat mendapat komitmen tidak belah bagi daripada saya dan pihak berkepentingan,” katanya yang menyatakan bahawa fokusnya kini ialah meneruskan kerja, termasuk rundingan dengan OEM, bank yang menuntut pembayaran tertangguh dan urusan dengan vendor.

Sementara itu, katanya Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah memulakan proses menyahklasifikasikan Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

Katanya, Pengauditan Forensik Projek LCS pula akan mengambil masa sementara menunggu kelulusan Peguam Negara kerana dokumen itu bukan milik kerajaan, sebaliknya dimiliki Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Apabila semua dokumen itu dinyahklafikasikan, katanya orang ramai boleh melihat sendiri siapa yang rasuah, apa yang dikatakan penyelewengan itu untuk pertimbangan masing-masing.

Mengulas mengenai peralatan LCS yang telah dibeli dikatakan usang seperti dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), katanya perkara itu dijawab oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, iaitu sokongan jaminan sehingga 30 tahun bagi sebarang risiko peralatan itu.

Katanya, ini meliputi barangan utama termasuk enjin, sistem janakuasa, radar, sonar, meriam dan misil. – HARAKAHDAILY 16/8/22

- Advertisement -