Persidangan Dewan Negara ditangguh

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 Dewan Negara yang berlangsung sejak 8 Ogos lepas ditangguh ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Sepanjang persidangan enam hari itu, Dewan Negara meluluskan 25 rang undang-undang selepas kesemuanya dibentang dan dibahas oleh para senator.

Antaranya Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 bagi menyediakan peruntukan yang melarang Ahli Parlimen menukar parti dan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021 bagi menangani isu gangguan seksual di Malaysia.

Advertisement

Turut diluluskan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 yang disasar bagi menjamin kebajikan sosial suri rumah, keluarga dan komuniti menerusi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah.

Selain itu, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020, Rang Undang-Undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan (Pindaan) 2022).

Persidangan kali ini juga menyaksikan usul yang dibawa oleh Senator Datuk Seri Zurainah Musa berkaitan kewarganegaraan kanak-kanak lahir di luar negara oleh ibu warganegara dibahaskan oleh 11 Ahli Dewan Negara disusuli penggulungan daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

Ismail berkata pihak yang terbabit dalam kes itu masih mempunyai hak untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan kerana ia baru sahaja diputuskan di Mahkamah Rayuan iaitu pada 5 Ogos lepas.

Hari terakhir persidangan menyaksikan usul yang dibawa Senator Lim Hui Ying berkaitan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) dibahaskan oleh 10 Ahli Dewan Negara disusuli penggulungan daripada Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin berkata cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu projek pembinaan LCS bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan dibawa ke Kabinet esok.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim sebelum mengumumkan penangguhan persidangan berkata penggubalan akta berkaitan perkhidmatan Parlimen kini di peringkat akhir dengan mengambil kira Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang telah dimansuhkan sejak 1992.

Katanya pindaan ke atas Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 juga sedang diselenggara oleh pihak berwajib termasuk menyediakan draf kod serta etika untuk Ahli Parlimen.

Beliau juga berterima kasih kepada Ahli Dewan Negara atas khidmat yang diberikan dan berharap mereka dapat menilai semula sumbangan kepada rakyat sebagai anggota legislatif tertinggi negara.

“Satu perkara sudah jelas hari ini yang menunjukkan bahawa politik kepartian tidak nampak berlaku (di Dewan Negara) seperti yang diduga sesetengah pihak.

“Ini markah terbaik bagi negara Malaysia,” katanya. – BERNAMA