Exco Kelantan pulang dari Mesir berkerusi roda

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Mohd Nassuruddin Daud yang terbabit kemalangan jalan raya ketika urusan rasmi di Mesir selamat kembali ke tanah air petang tadi.

Beliau bersama delegasi kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob terpaksa pulang lebih awal dari tarikh sebenar kerana terlibat dalam satu kemalangan Jumaat lalu.

- Advertisement -

Kemalangan tersebut menyebabkannya patah tangan dan kaki. Beliau bersama rombongan dijadualkan hadir ke Seminar Peradaban Kerajaan Negeri Kelantan di Timur Tengah 2022 di Mesir yang dijangka berakhir hari ini.

Kepulangan Ketua Penerangan PAS Kelantan itu pada jam 6.06 petang disambut pimpinan kerajaan negeri dan petugas Majlis Tindakan Dun Meranti.

Kelihatan hadir menyambut kepulangannya Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat dan Adun Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin.

Mohd Nassurudin kelihatan ceria biarpun terpaksa berkerusi roda sejurus keluar dari Bilik Khas Menunggu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa.

Adun Meranti itu terus dibawa ke Hospital KPJ Perdana untuk mendapat rawatan lanjut sambil ditemani oleh keluarganya dan Pegawai Khas, Jamal Najmuddin Sulaiman. – HARAKAHDAILY 16/8/2022

- Advertisement -