PN Kelantan sambut ulang tahun kedua 21 Ogos ini

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Perikatan Nasional (PN) Kelantan akan menyambut ulang tahun kedua penubuhan gabungan yang melibatkan lima parti itu pada 21 Ogos ini.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat berkata, sempena ulang tahun terbabit satu himpunan akan diadakan secara besar-besaran di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV.

- Advertisement -

Katanya, program itu bermula jam 4 petang dimulakan dengan aktiviti belia dan anak-anak muda yang melibatkan kehadiran Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Sambutan tersebut diadakan dengan kerjasama erat Badan Perhubungan Bersatu Kelantan dan kawasan.

“Sambutan dua tahun penubuhan PN peringkat negeri bukan sahaja diadakan di Kelantan, malah negeri-negeri lain pun turut mengadakan sambutan serupa,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan 2 Tahun PN di kediaman rasmi Menteri Besar di sini semalam.

Hadir sama Setiausaha Bersatu Kelantan Nasrudin Abdullah dan Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan Dato’ Hassan Mohamood.

Wan Roslan yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan berkata, sasaran program tersebut seluruh rakyat Kelantan yang menyokong PN.

Menurutnya juga banyak program menarik diadakan sempena program terbabit terutamanya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 16/8/2022

- Advertisement -