Masjid, surau belum penuh walau hampir bebas Covid-19

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR:
PAS Selangor menyeru seluruh masyarakat Islam di negara ini bersama-sama mengimarahkan masjid dan surau bagi menegakkan syiar Islam.

Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata ketika tempoh pandemik Covid-19 lalu menghalang umat Islam bagi mengerjakan program-program ibadah di masjid atau surau berikutan bagi memelihara keselamatan nyawa.

“Wabak pandemik Covid-19 telah memberikan pengajaran kepada umat Islam seluruh dunia dan negeri Selangor juga tidak ketinggalan, umat Islam yang mahu mengadakan program-program telah terhalang untuk hadir,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun menurut beliau, apabila telah berlaku peralihan fasa kepada fasa endemik membolehkan umat Islam kembali memeriahkan institusi kemasyarakatan Islam itu.

- Advertisement -

Walaupun begitu, peluang dan ruang yang ada tidak direbut dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam di negara ini untuk mengimarahkan masjid dan surau.

“Kita telah menuduh pihak yang berautoriti menghalang untuk kita dari mengimarahkan masjid dan surau walaupun maqasidnya pada ketika itu adalah untuk menjaga nyawa ummat Islam daripada jangkitan Covid-19 dan kematian.

“Ayuh, hari ini kita hampir bebas dari kegerunan wabak Covid-19, pihak berautoriti telah membenarkan kita memenuhi masjid dan surau, tapi rata-rata masjid dan surau masih belum kita penuhkan lagi,” katanya yang juga Adun Sijangkang.

Katanya, masjid merupakan ‘one stop centre’ bagi membangunkan masyarakat Islam yang lebih holistik.

Jelasnya, pengimarahan institusi terbabit akan berlaku secara optimum sekiranya program-program ibadah, pendidikan, dakwah dan khidmat masyarakat berjalan secara berterusan.

“Umat Islam hanya akan kuat dan ampuh apabila masjid dan surau kita dapat dipenuhi program-program pengimarahan, waktu Subuh pun makmum penuh seperti solat Jumaat.

“Kita bukan sahaja solat fardu di masjid atau surau, malah hadir mendengar kuliah di dalam masjid dan surau.

“Ayuh penuhkan masjid, kita dengar kuliah dari mulut asatizah dan corong dalam masjid,” seru beliau lagi. – HARAKAHDAILY 11/8/2022

- Advertisement -