Anyaman mengkuang aktiviti ekonomi wanita Rantau Panjang

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

RANTAU PANJANG:
Aktiviti anyaman mengkuang merupakan sebahagian aktiviti pembangunan ekonomi golongan wanita di kawasan Parlimen Rantau Panjang.

Program tersebut dilaksanakan melalui Darul Niswah yang memberi peluang kepada golongan wanita membina kerjaya sampingan untuk meningkat ekonomi keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, aktiviti anyawan mengkuang sebagai aktiviti meningkatkan ekonomi.

Katanya aktiviti anyaman mengkuang menggunakan tangan untuk menghasilkan produk secara kreatif untuk dipopularkan di pasaran.

- Advertisement -

“Malah, material mengkuang di sini sesuai dengan tempat dan cuaca, cuma kita memerlukan semangat orang muda untuk untuk sama-sama membawa produk tersebut lebih berkembang,” katanya ketika ditemui selepas majlis Pelancaran Darul Niswah di Apam Putra, Rantau Panjang, di sini hari ini.

Katanya juga Darul Niswah Parlimen Rantau Panjang dijadikan sebagai tempat pemasaran di mana akan dibina gerai atau kedai bagi mempamerkan hasil kraftangan yang dicipta.

Selain itu dapat menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara untuk berkunjung ke Rantau Panjang.

“Kita akan membina gerai atau kedai untuk dipamerkan hasil kreativiti yang dibuat dan boleh jadikan pusat ekonomi di samping pusat aktiviti pertanian dapur hijau.

“Malah di sini juga menjadi lokasi kegiatan wanita setempat dalam usaha mereka mendapat kesejahteraan minda,” katanya.

Sejak 2005 sehingga sekarang kerajaan Kelantan mewujudkan sebanyak 30 Darul Niswah sebagai projek kebajikan dan pembangunan golongan wanita di negeri itu.

Mumtaz juga berkata, Darul Niswah dijadikan sebagai pusat yang menyelaras dan menggabungkan aktiviti golongan wanita dalam pelbagai kemahiran dan aktiviti keusahawanan.

Katanya kerajaan negeri komited untuk merealisasikan Darul Niswah sebagai Pusat Aktiviti Sepadu Wanita atau Women Activity Centre di setiap Parlimen khusus untuk golongan wanita dalam skala kecil.

“Darul Niswah diurus menerusi Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) itu sejak 2005 sehingga tahun ini di mana seramai 6,826 pelatih menjalani latihan dan daripada jumlah itu seramai 3,927 pelatih berjaya bergraduasi.

“Darul Niswah menyediakan program kemahiran membabitkan jahitan tangan, kraftangan, pemprosesan masakan dan minuman sihat, kursus kulinari desa yang menfokuskan makanan tradisional, makanan barat dan kuih-muih,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/8/2022

- Advertisement -