Masalah pesawah antara agenda penting Adun Sanglang

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Masalah pesawah di Sanglang menjadi salah satu agenda penting yang disuarakan oleh Mohd Shukri Ramli.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu berkata, antara faktor yang menyebabkan hasil padi gagal ditingkatkan ialah sistem saliran air ke sawah yang semakin uzur.

Beliau menyatakan perkara itu dalam soalan yang dikemukakan pada persidangan DUN Perlis, hari ini

- Advertisement -

Menjawab soalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Nurulhisham Yaakob berkata, sehingga 15 Julai 2022, sejumlah dua buah blok pengairan telah selesai dibangunkan yang berkeluasan 696 hektar dan anggaran pesawah menerima manfaat seramai 398 orang.

“Sementara itu, tiga buah blok lagi sedang dalam pembinaan yang berkeluasan 1,563.3 hektar dan anggaran pesawah menerima manfaat seramai 893 orang.

“Manakala enam blok pengairan sedang dirancang untuk dibangunkan sehingga penghujung Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe[1]12) bermula 2023 hingga 2025,” jelasnya.

Selain itu, katanya, pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) juga sentiasa melakukan kerja pembersihan saluran air, pemulihan dan pengubahsuaian struktur, penyelenggaraan jalan ladang di kawasan sawah yang terlibat.

“Kita turut menggalakkan usaha penjagaan dan pemuliharaan sistem pengairan sawah di kalangan pihak terlibat seperti Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Unit Pertanian Kecil dan Kumpulan Pengguna Air (KPA),” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/8/2022

- Advertisement -