Demonstrasi sokong PTP tidak wakili penduduk setempat

- Advertisement -

JAWATANKUASA Bertindak Membantah Pembinaan Taman Perindustrian dan Asrama Pekerja di Bertam mempersoalkan satu demonstrasi menyokong projek Penang Technology Park (PTP) yang dilakukan pada 5 Ogos 2022 (Jumaat) di hadapan Pejabat Tanah dan Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Pulau Pinang sebaik sahaja kenyataan rasmi berkaitan penolakan CLQ diterbitkan dalam Buletin Mutiara bertarikh 4 Ogos 2022.

Kami dimaklumkan bahawa individu-individu yang mengetuai demonstrasi dan penyerahan memorandum kepada Pegawai Daerah Seberang Perai Utara tersebut bukanlah penduduk tempatan sebaliknya tinggal di luar kawasan Bertam dan Kepala Batas.

Selain itu, majoriti peserta demonstrasi yang hadir pada hari tersebut merupakan warga emas yang tidak dikenali dan usaha mereka menuntut projek PTP dilaksanakan bagi memberikan peluang pekerjaan dilihat agak aneh.

Namun, kami tidak melihat bagaimana PTP mampu memberi manfaat kepada majoriti warga emas tersebut kerana pihak pemaju mendakwa PTP hanya memerlukan tenaga pekerja muda yang berkemahiran tinggi (high-skilled workers) sahaja.

Projek PTP ini dikatakan bakal menjadi taman perindustrian berteknologi tinggi yang berasaskan revolusi perindustrian keempat (4th industrial revolution) dan tidak bergantung kepada buruh kasar yang kemahiran rendah (low skilled and cheap labours).

Adakah wujud tangan-tangan ghaib di belakang para peserta demonstratsi tersebut bagi memperlihatkan sokongan awam terhadap PTP untuk meyakinkan pihak pelabur dan pihak bank bagi memberikan pinjaman kepada para pembeli lot industri di PTP yang masih di peringkat kelulusan?

Dakwaan bahawa kawasan Bertam kurang peluang pekerja juga tidak munasabah kerana terdapat laporan menyatakan bahawa kadar pengangguran di sini adalah rendah iaitu purata 3.2 peratus bagi Negeri Pulau Pinang seperti yang dikeluarkan oleh PERKESO pada tahun 2021. Sehingga kini tidak pernah kedengaran suara penduduk tempatan menagih peluang pekerjaan di kawasan Bertam.

Ini adalah kerana kawasan Bertam telah terkenal dengan kawasan perumahan terancang dan hub pendidikan yang cukup memadai dalam menyediakan peluang pekerjaan termasuk menyediakan suasana selesa dan kemudahan kepada penduduk tempatan.

Pembinaan kawasan perindustrian berskala besar hanya akan mengakibatkan risiko pencemaran alam sekitar dan mempercepatkan pertumbuhan kesesakan trafik yang ekstrem di kawasan ini.

Kepadatan penduduk di Bertam yang tinggi serta jarak kawasan kediaman yang terlalu hampir dengan tapak industri (100 meter – 3 km) akan mengundang kesan yang sangat buruk terhadap aspek kesihatan dan keselamatan penduduk setempat.

Untuk rekod, Pertubuhan Lestari Khazanah Alam (LEKAS), bersama-sama Jawatankuasa Bertindak Membantah Cadangan Pembangunan Taman Perindustrian di Bertam dan Gabungan Komuniti Bertam Putra telah melancarkan petisyen bantahan terhadap cadangan projek tersebut secara bertulis bermula pada 20 – 24 Julai 2022.

Pihak kami telah berjaya mengumpulkan 1,662 tandatangan penduduk Bertam yang membantah keras cadangan projek taman perindustrian tersebut. Petisyen bantahan bertulis tersebut kami telah diserahkan kepada pihak Datuk Bandar MBSP, Pengarah Jabatan Alam Sekitar dan Pengarah PLAN Malaysia.

Pecahan penduduk di zon teras dan zon penampan yang membantah dalam pestiyen bertulis tersebut adalah Bertam Eco Residence (93 orang), Mekarsari (59 orang), Putra Villa (121 orang), Casa Moderna Bertam Putra (160 orang), Casa Innova Bertam Putra (22 orang), Seksyen 2 Taman Bertam Putra (84 orang), Seksyen 3, 5 dan 6 Taman Bertam Putra (526 orang), Bertam Lakehomes (212 orang), Bertam Lakeside (52 orang), Bentara dan Panglima (114 orang), Pinggiran Bertam (112 orang), lain-lain (Bertam Lakeview, Bertam PGR, Bertam Indah, Syahbandar, Lahar Tiang, Permatang Langsat dsb) (107 orang).

Selain itu, petisyen atas talian yang dilancarkan pada 19 Mei 2022 lalu juga telah berjaya mengumpulkan 6,553 orang bagi membantah projek tersebut ( https://chng.it/gvqYsv92 ) sedangkan kajian penilaian impak sosial (Social Impact Assessment-SIA) yang dilakukan pemaju secara atas talian hanya berjaya mendapatkan pandangan 411 orang responden sahaja.

Justeru itu, kami menggesa agar pihak berwajib dan pemaju projek untuk membatalkan cadangan membina taman perindustrian di Bertam yang akan menjejaskan kualiti alam sekitar dan social wellbeing penduduk setempat. Kami mencadangkan agar tapak tersebut dibangunkan dengan projek pembangunan bercampur yang melibatkan pembangunan perumahan pelbagai, institusi pendidikan tinggi, pejabat, perniagaan dan kemudahan awam.

Sekian, terima kasih.

Yang bersama penduduk setempat,
PROF. MADYA SR. DR. MOHAMAD SUKERI BIN KHALID
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Membantah Pembinaan Taman Perindustrian & Asrama Pekerja di Bertam

Diperakukan oleh,
EN. MOHD FAMY ABD RAJAB
Pengerusi Gabungan Komuniti Bertam Putra

EN. ZIKRULLAH ISMAIL
Pengerusi
Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS) – HARAKAHDAILY 10/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -