Perlis berupaya muncul hub pengeluaran makanan utama

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Perlis berupaya muncul sebagai salah satu hub pengeluaran makanan utama di negara ini pada masa akan datang.

“Kekurangan bekalan makanan diburukkan lagi dengan lonjakan harga barang keperluan menyedarkan kita tentang kepentingan jaminan keselamatan makanan negara.

“Negara kita masih tidak mencapai Self Sufficient Level (SSL) dalam bekalan makanan. Tahun 2021 Malaysia telah import sebanyak RM55 bilion produk makanan berbanding eksport sebanyak RM33.8 bilion,” titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Yang Ke-14 di Kompleks DUN Perlis, Persiaran Wawasan, di sini, hari ini.

Justeru, baginda bertitah agar kerajaan negeri terus agresif meningkatkan bekalan makanan walaupun telah bermula sejak 2018.

- Advertisement -

“Antaranya mengekalkan zon jelapang padi dan meningkatkan pengeluaran padi, pewujudan ladang-ladang tanaman komersial di Chuping dan Lubuk Sireh, pewujudan ladang-ladang ternakan haiwan untuk daging dan susu.

“Inisiatif berfokus boleh dibuat untuk melahirkan lebih ramai lagi usahawan tani kecil dan sederhana yang menggunakan teknologi moden.

“Beta yakin dengan kaedah pertanian moden seperti di Chuping Agro Valley (CAV), produktiviti pertanian dapat ditingkatkan,” titah baginda.

Baginda juga bertitah Keindahan semula jadi negeri ini mampu menjadi daya tarikan pelancong dan mempunyai potensi besar untuk berkembang.

Sehubungan itu, baginda menyeru kerajaan negeri meneruskan usaha penambahbaikan prasarana sokongan dan program promosi pelancongan yang kreatif dan menarik.

“Ini termasuklah menggunakan portal, laman web serta media sosial, jalinan hubungan kerjasama dengan Key Opinion Leader (KOL) dan sosial media influencer (pengaruh media sosial) untuk menarik minat pelancong ke Perlis.

“Kerjasama rentas sempadan negeri dan negara juga penting di kalangan syarikat dan individu swasta untuk menganjurkan pakej pelancongan yang menarik,” titah baginda.

Titah baginda lagi, bagi memastikan Perlis terus mendapat tempat di hati pelancong, aspek kebersihan harus diberi penekanan dan keutamaan.

“Walaupun kerajaan negeri mempunyai Agenda Perlis Bersih Sihat 2021-2025, kerjasama erat dari setiap rakyat amat diperlukan.

“Beta menyeru setiap rakyat agar mengubah sikap dan meningkatkan amalan kebersihan dalam kehidupan terutama penjagaan alam sekitar dan premis makanan.

“Kualiti kebersihan premis dan perkhidmatan jualan makanan perlu ditingkatkan sejajar dengan dinamik semasa dan harapan pelanggan,” titah baginda.

Persidangan DUN Perlis kali ini berlangsung sehingga Khamis. – HARAKAHDAILY 9/8/2022

- Advertisement -