Khidmat Malaysia bakal tubuh yayasan mudahkan sumbangan

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pengurusan Kecemasan Bencana (Khidmat Malaysia) sedang berusaha mewujudkan Yayasan Khidmat Malaysia.

Pengerusinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata dengan kewujudan yayasan itu, diharapkan lebih mudah untuk Khidmat Malaysia menerima sumbangan dari pelbagai pihak.

“Kami sedang berusaha untuk mewujudkan Yayasan Khidmat Malaysia, insya-Allah apabila ada yayasan lebih mudah untuk mendapat sumbangan.

“Terutamanya dalam membantu melancarkan lagi gerak kerja Khidmat Malaysia, jadi saya harapkan doa dan kerjasama semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Pejabat Khidmat Malaysia yang dirasmikan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, di Taman Selaseh, Batu Cave, hari ini.

Turut hadir, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Senator Datuk Ahmad Yahaya; Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS, Dr Rosni Adam; dan Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Menurut Siti Zailah, sejak 2013 sehingga tahun ini, Khdimat Malaysia telah menyalurkan kira-kira RM50 juta sumbangan keada masyarakat melalui pelbagai program.

Selain itu katanya, jumlah sukarelawan Khidmat Malaysia yang turun membantu dalam bersama agensi kerajaan pasca bencana menghampiri 100,000 sukarelawan.

Katanya, Khidmat Malaysia amat mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai sebagai sukarelawan, terutama dalam kalangan proefesional.

“Saya menyeru kepada semua badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di luar sana, kami bersedia untuk melakukan kerjasama terutama dalam isu melibatkan khidmat bencana.

“Kita juga harapkan kerjasama orang ramai dalam urusan bantuan kerana Khidmat Malaysia banyak menerima sumbangan dalam bentuk barangan kewangan dari pelbagai pihak untuk meneruskan gerak kerja.

“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan dan NGO yang memberi kerjasama.

“Kita juga berharap lebih ramai lagi golongan profesional dan sukrelawan bersama Khidmat Malaysia untuk sama-sama membantu terutama ketika berlaku kecemasan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/8/2021

- Advertisement -