LCS: PAS tidak kompromi, dakwa pihak terlibat

Timbalan Presiden PAS, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man semasa berucap pada Majlis Perasmian Pejabat Khidmat Malaysia di Taman Selaseh, Gombak. (Foto MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE/HARAKAHDAILY)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyiasatan berhubung skandal pembelian enam kapal tempur (LCS) bernilai RM9 bilion perlu dilengkapkan dan pihak terlibat perlu didakwa di mahkamah.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS tidak akan berkompromi dengan sebarang kemungkaran, apatah lagi melibatkan wang rakyat dan pertahanan negara.

“Penyiasatan menyeluruh perlu dilengkapkan dan jika terdapat pihak (terlibat), kita minta mereka didakwa. Kita tidak akan kompromi dengan kemungkaran.

“Jadi, jika ada pihak yang dalam siasatan, kemudian didapati (terlibat) mereka perlu dihadapkan ke mahkamah dan dibicarakan,” katanya dalam sidang media Majlis Perasmian Pejabat Khidmat Malaysia, hari ini.

- Advertisement -

Menurut Tuan Ibrahim, jumlah RM6 bilion bukan jumlah yang kecil bagi sebuah negara, justeru PAS bersetuju dan menyokong sepenuhnya mereka yang terlibat dalam skandal LCS dibawa ke muka pengadilan.

“Jumlah RM6 bilion bukan jumlah kecil bagi sebuah negara, apatah lagi melibatkan pertahanan negara dan kita tidak boleh kompromi dengan soal keselamatan negara kita.

“Oleh itu, kita setuju dan menyokong 100 peratus, mereka yang didapati terlibat perlu dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Tuan Ibrahim merasmikan Pejabat Khidmat Malaysia bersama Pengerusi Khidmat Malaysia, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, di Taman Selaseh, Gombak, di sini.

Tuan Ibrahim semasa merasmikan Pejabat Khidmat Malaysia di Taman Selaseh, Gombak. (Foto MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE/HARAKAHDAILY)

Turut hadir, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Senator Datuk Ahmad Yahaya; Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS, Dr Rosni Adam; dan Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Menurut Tuan Ibrahim, kolaberasi strategik Pertubuhan Pengurusan Kecemasan Bencana (Khidmat Malaysia) adalah usaha positif yang didokong oleh kerajaan sepenuhnya memandangkan bencana adalah isu yang merentasi politik, agama dan kaum.

Malah katanya, impak perubahan iklim yang menyebabkan berlaku bencana yang tidak dapat dijangka mempunyai risiko yang sangat besar.

“Saya amat mengalu-alukan usaha yang dibuat Khidmat Malaysia dan semua pihak terlibat untuk lengkapkan keperluan yang diperlukan untuk berdepan impak apabila berlaku bencana,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/8/2022

- Advertisement -