Susunan YUSMAN AWANG
TAOS, New Mexico: Suspek utama kes pembunuhan bersiri empat lelaki Islam di Albuquerque, New Mexico yang maut akibat tembakan sejak November tahun lalu telah ditahan.
Ketua Jabatan Polis Albuquerque, Harold Medina dalam sidang media berkata, seorang lelaki lelaki telah ditahan pada Selasa (9 Ogos) waktu tempatan atas dakwaan membunuh dua lelaki Islam di bandar itu.
Empat lelaki Islam telah dibunuh di Albuquerque sejak November tahun, dan pihak berkuasa percaya suspek terbabit dengan dua lagi pembunuhan, lapor CBS News.
“Muhammed Syed, yang berusia 51 tahun telah dikenal pasti sebagai suspek utama dalam pembunuhan dua lelaki Islam di Albuquerque baru-baru ini,” ujar Medina.
Syed didakwa membunuh Aftab Hussein pada 26 Julai tahun ini, dan kemudian Muhammad Afzaal Hussian pada 1 Ogos. Detektif mengaitkan kedua-dua kes pembunuhan itu dengan bukti kelongsong peluru yang ditemui di dua tempat kejadian.

Pihak polis masih menyiasat kemungkinan penglibatan Syed dalam pembunuhan Naeem Hussain pada 5 Ogos 2022 dan Mohammed Zaher Ahmadi pada 7 November 2021.
Lelaki itu ditahan selepas polis menggeledah rumahnya di Albuquerque, yang menyebabkan dia melarikan diri dengan sebuah Volkswagen Jetta.
“Polis kemudian berjaya mengesan kenderaan yang disyaki digunakan dalam pembunuhan itu dan menahan suspek,” ujar kenyataan polis.
Terdahulu, pihak berkuasa negeri telah berusaha untuk menyediakan kehadiran polis tambahan di masjid semasa waktu solat ketika siasatan diteruskan di bandar itu dengan seramai 5,000 orang Islam daripada jumlah keseluruhan 565,000 penduduk.

Tembakan secara serangan hendap terhadap kesemua empat lelaki Islam berkenaan yang berketurunan Pakistan atau Afghanistan, telah menggerunkan masyarakat Islam Albuquerque, menyebabkan beberapa pelajar Pakistan di Universiti New Mexico meninggalkan bandar itu kerana ketakutan.
Pembunuhan pertama berlaku pada bulan November. Tiga lelaki Islam lain terbunuh sejak dua minggu lalu.
Tiga mangsa terakhir berkongsi nama Hussain atau Hussein, menyebabkan keluarga mangsa percaya pembunuh itu telah memprofilkan lelaki itu secara perkauman.
Salah seorang mangsa ialah Muhammad Afzaal Hussain, yang bekerja sebagai pengarah perancangan di bandar itu. Abangnya, Muhammad Imtiaz Hussain yang hadir pada sidang media mengumumkan penahanan suspek pembunuhan, berkata bahawa perkembangan terbaharu kes tersebut sedikit sebanyak telah melegakan masyarakat Islam di Albuquerque, lapor pula Reuters.

“Anak-anak saya bertanya kepada saya, ‘Bolehkah kita duduk di balkoni rumah kita sekarang ini?’ dan saya berkata, ‘Ya,’ dan mereka berkata, ‘Bolehkah kita keluar dan bermain sekarang?’ dan saya berkata, ‘Ya,’” katanya.
Beberapa mangsa yang dibunuh merupakan pengunjung tetap Pusat Islam New Mexico, masjid terbesar di Albuquerque, namun pihak masjid enggan mengulas segera mengenai berita bahawa suspek yang telah ditahan itu.
Tiga daripada mangsa ditembak berhampiran Central Avenue di tenggara Albuquerque. Naeem Hussain, 25, seorang pemandu trak yang baru sahaja mendapat kerakyatan AS pada 8 Julai, maut pada hari Jumaat, 5 Ogos beberapa jam selepas menghadiri pengebumian dua lagi mangsa – Muhammad Afzaal Hussain, 27, dan Aftab Hussein, 41, – yang masing-masing dibunuh pada 1 Ogos dan 26 Julai itu.
Mohammad Ahmadi, seorang Muslim dari Afghanistan, dibunuh pada 7 November 2021, ketika menghisap rokok di luar kedai runcit dan kafe yang dikendalikan bersama abangnya di bahagian tenggara bandar itu.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Albuquerque, Tim Keller mengucapkan terima kasih kepada penguatkuasaan undang-undang tempatan, negeri dan persekutuan atas usaha mereka dalam kes itu.
“Kami berharap tindakan pantas mereka membawa peningkatan rasa selamat dalam kalangan orang ramai yang mengalami ketakutan kesan kes tembakan baru-baru ini,: katanya dalam satu kenyataan.
Cara kesemua mangsa dibunuh dilihat saudara-mara mangsa bahawa pembunuhan itu adalah jenayah kebencian.
“Terdapat elemen kebencian yang melampau dalam fikiran penembak,” kata Muhammad Imtiaz Hussain.
Sementara, Harold Medina dalam sidang media bagaimanapun berkata bahawa masih belum sesuai untuk melabelkan pembunuhan itu sebagai jenayah benci atau pembunuhan bersiri. – HARAKAHDAILY 10/8/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!