Kuasai platform atas talian beri kefahaman politik

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Platform media sosial yang menjadi sumber informasi utama generasi muda hari ini sewajarnya dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat tepat khususnya mengenai perjuangan PAS dan merungkaikan salah faham mengenai sesuatu isu.

Generasi muda juga perlu diberi kefahaman mengenai situasi politik semasa yang sering menjadi celaan dan dipandang negatif dengan menganggap semua ‘orang politik’ adalah sama. 

Naib Presiden PAS, Senator Datuk Idris Ahmad berkata, Dewan Pemuda PAS mesti bergerak ke depan dan berkeupayaan untuk terus melangkah seiring dengan peredaran zaman.

“Pemuda mesti kena ada semangat untuk membuat perubahan, beritahu apa yang hendak dibawa dan mempunyai tenaga dan kekuatan tersendiri,” ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Ke-39 di Bukit Merah Laketown Resort, Gunung Semanggol, di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Perak, Suhaimi Abdul Wafir, Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Hafez Sabri dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Hanif Jamaluddin.

Katanya, Pemuda mestilah memperjuangkan denyut nadi rakyat dan menjadi pemudahcara dan bersama-sama masyarakat untuk menyelesaikan permasalahan mereka.

Dalam mendepani PRU15, beliau mengingatkan Pemuda agar memperkasakan gerak kerja penerangan dan media sosial dengan mewujudkan jentera terlatih yang mahir menguasai pelbagai platform atas talian.

“Namun program-program tarbiyah dan perkaderan jangan dikesampingkan dengan menggerakkan majlis Usrah di setiap peringkat. Anak-anak ahli PAS wajar diajak untuk terlibat dengan aktiviti yang bersesuaian agar kesinambungan perjuangan ibu bapa mereka dapat diwariskan kelak,” peringatnya.

Muktamar Dewan Pemuda kali ini dihadiri perwakilan daripada 24 kawasan seluruh negeri membawa tema ‘Demi Ummah’ ini merupakan muktamar pertama secara fizikal selepas Malaysia memasuki fasa endemik. – HARAKAHDAILY 8/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -