PAS sedia luaskan khidmat kebajikan

BAGAN SERAI: Khidmat kebajikan yang adil dan tadbir urus berintegriti tinggi antara isi penting ditekankan pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Kali Ke-39 yang berlangsung di Bukit Merah Laketown Resort, Gunung Semanggol, di sini, semalam.

Ketua Pemuda PAS Perak, Hafez Sabri berkata dalam ucaptamanya, PAS sentiasa berpegang kepada aspek kebajikan yang adil kepada semua tanpa membezakan agama, kaum dan fahaman politik. 

“Di samping sentiasa memberi penekanan kepada kematangan politik yang mengutamakan integriti dan khidmat terbaik kepada rakyat.

“Sebagai rekod, di bawah Jabatan Amal Malaysia (AMAL), Dewan Pemuda PAS Negeri Perak begitu aktif menggerakkan kerja-kerja kebajikan termasuk membina rumah kediaman rakyat yang memerlukan secara bergotong royong dalam program Amal Turun Kampung dan seumpamanya.

“Sejak bertahun lama, Pemuda PAS di bawah mobilisasi AMAL telah mendapat penyertaan yang besar daripada anak muda dalam misi bantuan banjir yang melanda negara termasuklah yang berlaku di negeri Perak, Pahang, Selangor, Kedah dan seluruh negara. 

“Malah ada juga yang turun memberi khidmat mengikut bidang kepakaran dan minat masing-masing, umpamanya membaik pulih kenderaan mangsa banjir secara percuma, bantuan khidmat kesihatan dan lain-lain,” jelasnya.

Menurut beliau, agenda Ini juga memberi peluang secara tidak langsung kepada anak muda mendapat pendidikan politik dengan cara melibatkan diri melalui kerja-kerja lapangan.

Tambahnya lagi, PAS tidak hanya muncul membantu rakyat ketika musim pilihan raya, tetapi hakikatnya gerak kerja ini dilakukan sepanjang masa, sama ada dalam kawasan yang PAS menang atau kawasan belum menang.

Selain itu, beliau juga menyatakan PAS telah menunjukkan rekod prestasi yang sangat membanggakan dalam tadbir urus kerajaan serta membawa mesej dakwah dan Islam. 

“Jabatan Perangkaan Malaysia mencatatkan Kedah dan Terengganu tersenarai di antara lima negeri yang mencatat pertumbuhan ekonomi tertinggi di Malaysia pada tahun 2021.

“Malah wakil-wakil PAS yang dilantik di semua peringkat telah menjalankan tugas dalam kerajaan dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti.

“Hal ini menjadi bualan rakyat di semua peringkat apabila mereka sendiri melihat bagaimanakah integriti dan ‘good governance’ yang dibuktikan PAS dan ini memberi suatu isyarat yang sangat positif kepada rakyat Malaysia.

“Situasi sebegini hanya boleh dilaksanakan oleh negeri atau negara yang mempunyai pemimpin dan pihak pengurusan yang berintegriti serta berkebajikan secara adil kepada seluruh rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/8/2022

Advertisement