Kearifan tempatan: Rumah tradisional Melayu

- Advertisement -

KEARIFAN tempatan ialah pengetahuan yang diperoleh melalui rangkaian aktiviti oleh sekumpulan manusia di kawasan atau tempat tertentu yang kemudiannya diwarisi secara lisan dari generasi ke generasi. 

Kearifan tempatan dibentuk oleh pengaruh budaya, agama, aktiviti sosioekonomi, sumber alamiah, dan iklim sesuatu tempat. Pengetahuan daripada kearifan tempatan kadang kala dizahirkan dalam bentuk artifak dan seni bina yang unik dengan keperluan dan keadaan tempatan. Ciptaan ini mempunyai nilai saintifik yang berharga.

Bagi masyarakat awal Malaysia, kearifan tempatan juga wujud dan diwarisi secara turun-temurun. Hal ini misalnya dapat dilihat menerusi reka bentuk rumah Melayu tradisional yang sesuai dengan iklim Malaysia. Malaysia mempunyai iklim Tropika yang sering dicirikan sebagai panas dan lembap kerana kedudukan Malaysia yang berhampiran dengan garisan Khatulistiwa.

Oleh demikian, reka bentuk kediaman yang baik diperlukan untuk membolehkan pengudaraan yang mencukupi untuk mengawal suhu dan kelembapan. Mujurlah nenek-moyang Melayu berjaya mengamati dan memahami iklim setempat sehingga terhasilnya reka bentuk rumah yang sesuai dengan situasi iklim tempatan. 

Terdapat pelbagai ciri pada rumah tradisional Melayu yang berfungsi menyediakan pengudaraan yang mencukupi, seperti yang dihuraikan dalam penerbitan bertajuk ‘Climatic design of the traditional Malay house to meet the requirements of modern living.

Salah satu cirinya ialah meninggalkan jurang kecil di antara dua atap bumbung yang bertindih. Ciri ini membolehkan udara merentasi celah jurang tersebut sekali gus menghasilkan pengudaraan secara alamiah dan mengurangkan suhu panas.

Suhu panas dikurangkan lagi dengan mereka bentuk atap bumbung yang besar dan lebar. Reka bentuk ini melindungi tingkap daripada sinaran matahari dan hujan lebat daripada memasuki rumah.

Selain itu, reka bentuk unjur cucur atap (overhanging eaves) dan tingkap rendah juga mengurangkan pandangan luar yang tidak diingini dari langit terbuka dan rumah jiran. Budaya Melayu dan agama Islam yang menekankan kesopanan, sifat malu dan privasi berkemungkinan mempengaruhi reka bentuk ini. 

Secara keseluruhan, walaupun tidak difahami secara langsung bagaimana nenek-moyang Melayu menjalankan penyelidikan dan pembangunan untuk membangunkan reka bentuk ini, ia membuktikan bahawa mereka memiliki kearifan tempatan dalam perkara ini yang sesuai dengan persekitaran, budaya, dan kehidupan mereka.

Kearifan tempatan mempunyai peranan yang besar dalam perkembangan gaya dan cara hidup masyarakat Melayu dahulu. Malangnya, pada masa kini, kearifan dan budaya tempatan tidak menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran, khususnya pembelajaran sains. 

Hal ini seolah-olah mengisyaratkan budaya dan kearifan tempatan tidak mempunyai perkaitan dengan perkembangan sains dan teknologi. Sebaiknya, pembangunan sains dan teknologi perlu dibina di atas asas kearifan tempatan bagi memastikan pembaharuan yang hendak dicadangkan bertepatan dengan keperluan dan identiti tempatan.

MOHAMMAD MUSTAQIM MALEK 
Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM – HARAKAHDAILY 8/8/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100064392321114/posts/pfbid02xAxXF1sTFz6sjaXue3ZNJDheHFRs9BnNGsKdSkmeudimyZq7Q8Zcvi3qBCFpuV2ql/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -