Türkiye kutuk pembunuhan bersiri umat Islam di AS

Tiga daripada empat lelaki Islam mati dibunuh di Albuquerque, di New Mexico, Amerika Syarikat (dari atas ke bawah masing-masing ialah Mohammad Ahmadi, Aftab Hussein dan Muhammad Afzaal Hussain) dalam tempoh 9 bulan lalu. (FOTO Flipboard)

Susunan ZULHAIDI MANSOR

ANKARA: Türkiye mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan empat lelaki Islam di bandar Albuquerque, di New Mexico, Amerika Syarikat, dan menggesa agar kesemua kes berkenaan dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.

Ibrahim Kalin, jurucakap Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdoğan dalam kenyataan melalui Twitter berkata, pihaknya sangat bimbang dengan senario tersebut, lapor TRT World.

Advertisement

Selepas seorang lelaki Islam, Naeem Hussain dibunuh di negeri selatan New Mexico itu pada Jumaat, 6 Ogos 2022 (waktu AS), pihak berkuasa negeri itu dilaporkan sedang berusaha untuk menentukan sama ada pembunuhan tersebut berkait dengan pembunuhan tiga lelaki Islam yang lain sejak sembilan bulan lalu.

Ketua Polis Albuquerque, Harold Medina berkata, pembunuhan Naeem Hussain berkemungkinan saling berkaitan dengan pembunuhan tiga lelaki Islam lain yang terbunuh dalam serangan hendap akibat ditembak sebelum ini.

Mangsa terbaharu itu, Naeem Hussain, menurut laporan The Washington Post, telah menghadiri pengebumian Muhammad Afzaal Hussain, 27, dan Aftab Hussein, 41, pada Jumaat lalu sebelum menuju ke pusat itu untuk makan selepas pengebumian tersebut.

Tahir Gauba, Pengarah Hal Ehwal Awam di Pusat Islam New Mexico, Tahir Gauba dalam temu bual melalui telefon berkata, Naeem Hussain, yang berusia pertengahan 20-an, serta Muhammad Afzaal Hussain dan Aftab Hussein adalah pengunjung tetap pusat Islam berkenaan.

“Namun, ketiga-tiga mangsa tiada pertalian kekeluargaan biarpun mereka berkongsi nama keluarga yang sama,” katanya.

Naeem Hussain yang telah mengangkat sumpah kerakyatan AS sebulan lepas dan bercita-cita menjadi seorang usahawan, ditemui meninggal dunia petang Jumaat lalu sejurus sebelum tengah malam.

Mayatnya ditemui di tempat letak kereta Lutheran Family Services Rocky Mountains, yang menyediakan perkhidmatan bantuan kepada anak angkat dan pelarian.

Naeem Hussain maut ditembak di Albuquerque, New Mexico, Amerika Syarikat pada 6 Ogos 2022. (FOTO Mobile.Twitter.com@BushChaney)

“Muhammad Afzaal Hussain, yang maut ditembak pada 1 Ogos 2022, bekerja dalam pasukan kempen Rep. Melanie Ann Stansbury (D-N.M.),” kata anggota kongres itu semasa sidang akhbar pada Ahad lalu.

Stanbury menyifatkan arwah sebagai ‘seorang lelaki muda yang baik, lucu, cemerlang, menakjubkan’ dari Pakistan yang datang ke AS untuk meneruskan kerjayanya dan impian hidupnya serta belajar di Universiti New Mexico.

Aftab Hussein pula maut selepas ditembak pada 26 Julai 2022.

Sehingga Ahad lalu, pihak berkuasa berkata mereka masih belum menentukan apakah motif di sebalik pembunuhan itu.

Pihak polis tempatan juga sedang menyiasat sama ada pembunuhan Mohammad Ahmadi pada 7 November tahun lalu ada kaitan dengan ketiga-tiga pembunuhan tersebut, yang mana Gauba berkata, Ahmadi bukan pengunjung pusat Islam berkenaan.

“Aftab Hussein berasal dari Afghanistan tetapi telah datang ke AS melalui Pakistan. Naeem Hussain dan Muhammad Afzaal Hussain pula berasal dari Pakistan; dan Ahmadi dari Afghanistan,” ujar kenyataan polis.

Sementara itu, agensi berita Worldakkam melaporkan bahawa Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden turut mengutuk pembunuhan empat lelaki Islam di negeri selatan New Mexico itu.

“Saya marah dan sedih dengan pembunuhan ngeri empat lelaki Islam di Albuquerque,” tweet Biden.

Menyedari bahawa siasatan penuh mengenai perkara itu sedang dijalankan, beliau menggariskan bahawa pentadbirannya berpegang teguh dengan masyarakat Islam di AS.

Biden berkata, serangan bersifat kebencian dan perkauman tidak mempunyai tempat di negara itu.

Dalam pada itu, pihak berkuasa mengulangi permintaan agar sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai pembunuhan itu agar segera menghubungi polis, dan  dilaporkan bahawa langkah keselamatan telah dipertingkatkan di kawasan tertentu di bandar yang dihuni masyarakat Islam.

Pertubuhan hak sivil Muslim terbesar di negara itu, Council on American-Islamic Relations (CAIR), pula dilaporkan telah meningkatkan ganjaran kepada AS$10,000 (RM44,610) daripada AS$5,000 (RM22,305) untuk maklumat tentang suspek pembunuhan tersebut. 

Pegawai polis Albuquerque, Kyle Hartsock dalam pada itu berkata pada Khamis bahawa suspek yang membunuh kesemua empat mangsa tersebut mungkin individu atau pihak yang sama. – HARAKAHDAILY 8/8/2022