Penyelidik UniMAP hasil baja marin organik

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

PADANG BESAR:
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memanfaatkan aktiviti penyelidikan dalam bidang pertanian di Agro Research Park yang merangkumi lapan projek.

Projek pertanian tersebut dikenali sebagai UniMAP Agro-Nexus (UAN).

Naib Canselor UniMAP Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, jalinan Industri antara UniMAP Holdings Sdn Bhd dengan Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) dan Bio Supreme Sdn Bhd bakal menghasilkan Projek Baja Marin Organik ‘UniSEA’.

- Advertisement -

“Baja Marin Organik UniSEA ialah produk pertama hasil penyelidikan yang dijalankan sekumpulan penyelidik UniMAP diketuai Prof Madya Dr Midhat Nabil Ahmad Salimi dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia (FTKK) bersama enam penyelidik lain.

“Penubuhan UAN pula merupakan perancangan projek di kawasan Kampus Sungai Chuchuh melibatkan penggunaan tanah seluas 152.97 ekar,” katanya pada perasmian program berkenaan di Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) UniMAP, di sini hari ini.

Perasmian disempurnakan Menteri Besar Perlis Dato’ Seri Azlan Man. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Dr Zaliman juga berkata, tanah tersebut akan dibangunkan aktiviti penyelidikan berteraskan teknologi pertanian terkini di plot-plot ladang.

Kata beliau ia bagi menyokong pembangunan projek berasaskan pertanian dan aktiviti inkubator-tani dalam kalangan pelajar dan Alumni UniMAP.

Katanya, projek ini dijangka dapat menjana pendapatan kepada universiti. – HARAKAHDAILY 5/8/2022

- Advertisement -