Tanam Musang King di Rimba Teloi tidak berisiko banjir

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

BALING:
Projek tanaman durian Musang King di Hutan Simpan Kekal (HSK) Rimba Teloi, Sik berkemungkinan tidak berisiko mengakibatkan banjir seperti yang berlaku di Kupang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek berkenaan telah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA),sementara tanaman pun telah diusahakan.

- Advertisement -

“Mungkin ada risiko tetapi harap itu tak adalah. Pihak berautoriti dan berkepakaran sudah mengkaji terlebih dahulu sebelum kelulusan EIA, dikeluarkan,” jelas beliau ketika ditemui di Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Kampung Sadek, kelmarin.

Katanya lagi, bentuk muka bumi HSK, Rimba Teloi tidaklah seperti Gunung Inas dan kawasan berbukitnya tidaklah terlalu tinggi tetapi jarak kawasan tanaman hanya kira-kira dua kilometer sahaja dengan kampung terdekat.

Dalam masa yang sama, ujar Sanusi, Pejabat Daerah Sik telahpun menubuhkan jawatankuasa untuk memantau kawasan berkenaan dan setakat ini tanaman tutup bumi sudah tumbuh dan tidaklah gondol sepertimana dipaparkan oleh media tempatan sebelum ini.

“Gambar yang dipaparkan di muka hadapan sebuah media tempatan minggu lalu adalah gambar lama. Tunjuklah gambar terkini,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain berkaitan kejadian aliran puing, Gunung Inas, 4 Julai lalu, laporan yang diterima oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menunjukkan trajedi tersebut tiada kaitan dengan ladang Musang King seperti yang didakwa sesetengah pihak malah kolam takungan air di gunung berkenaan juga tidak pecah.

“Semua itu usikan netizen dan orang ramai dengan fakta yang tidak benar, sedangkan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) sebelum ini berkata, berkemungkinan kolam itu pecah tetapi tiada siapa peduli,” tambah beliau.

Tambahnya, sementara 16 buah rumah lain di tanah rizab yang terjejas akibat kejadian itu akan diteliti oleh Pejabat Daerah Baling sama ada disediakan rumah gantian atau tapak sahaja.

Namun katanya, semua penduduk di sepanjang jajaran Lata Celak itu akan dipindahkan berikutan kawasan berkenaan tidak selamat lagi untuk didiami. – HARAKAHDAILY 5/8/2022

- Advertisement -