‘Langkah Sheraton’ detik mula perpaduan ummah

- Advertisement -

Oleh M FAQIH

TIBA
-tiba seorang pemimpin Melayu menyebut kerjasama tiga parti Melayu utama sekadar satu hipotesis. Tentunya ia begitu mengejutkan. Sedangkan sejarah dan peristiwa mengenainya banyak terhidang sebelum ini.

Tidak perlu susah-susah hendak belek akhbar lama. Search sahaja Google akan keluar berita-berita lama. Kalau tidak kerana sebuah pakatan, Umno masih lagi berada di kerusi pembangkang sekarang.

Umno tidak boleh hendak nafikan hakikat itu. Gerakan awal bagi menggantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bermula selepas banyak isu mencabar ketuanan Melayu, Raja dan Islam berlarutan.

Media sosial digunakan secara meluas. Tentunya ramai masih ingat nama-nama seperti Henry Hiung, Sally Yen dan Sarkas Tanesan.

- Advertisement -

Itu contoh nama bukan berbunyi Melayu. Ada yang tergamak menulis ‘Islam agama sex..’ Munculnya penghinaan terhadap Islam dan orang Melayu menjadi-jadi ketika era PH.

Maka mengambil kira situasi tidak tenteram itu Bersatu bertindak keluar daripada PH. Isu pokoknya kerana krisis dalaman PH. Perebutan jawatan perdana menteri antara Tun dan Anwar Ibrahim menjadi punca.

Bagi mengembalikan semula kekuatan ummah, PAS menggerakkan kesedaran baru politik. Usaha itu untuk membentuk semula kekuatan politik orang Melayu dan Islam.

PAS mengajak Bersatu membentuk pakatan baharu. Namun, jumlah ahli parlimen PAS dan Bersatu belum lagi mencukupi bagi membentuk kerajaan baru.

Perkara itu juga didedah Presiden PAS Tok Guru Abdul Hadi Awang ketika pelancaran PN Terengganu Sabtu lalu.

Kata Tok Guru Abdul Hadi, PAS dan Bersatu bersetuju mengajak Umno menyertai pakatan tersebut. Akhirnya Umno setuju. Maka mereka berhimpun di Hotel Sheraton Kuala Lumpur selepas Tun Dr Mahathir meletak jawatan.

Maka bermula dari situ lahirlah PN. Umno juga menerima laba berganda.
Tidak lagi bergelar pembangkang seperti 22 bulan sebelum itu.

Hasil perkongsian politik tersebut ramai pemimpin Umno mendapat jawatan menteri dan timbalan menteri. Malah, pemimpin Barisan Nasional (BN) dari MCA dan MIC juga mendapat untung.

Siapa dapat laba

Apakah keuntungan lumayan bagi Umno dan BN itu sekadar hipotesis, lebih-lebih lagi apabila Zahid menyebut sebagai fatamorgana.

Kalau dibelek Kamus Dewan fatamorgana bermaksud sesuatu yang bersifat khayalan. Pemimpin Umno mendapat jawatan perdana menteri percuma adakah ia sebagai khayalan.

Ramai menganggap mungkin Zahid keliru. Mungkin dia sifatkan sebagai khayalan kerana belum pernah Naib Presiden Umno diberi jawatan perdana menteri.

Kalau hipotesis begitu mungkin ada kebenarannya. Fatamorgana kerana presiden Umno tidak dilantik menteri perdana.

Fatamorgana sekadar hipotesis Zahid. Lebih pelik lagi apabila disebut Umno pernah menawarkan ‘olive branch’ kepada PAS dan Bersatu.

Maka tanya Ah Long kat Bangsar bila pula Umno mengajak PAS dan Bersatu berdamai. Cuba makcik dan pakcik belek akhbar lama berlakukah seperti disebut Zahid.

Cuba hadam lagi kenyataan Presiden Umno. ‘Tangan kita bukan sahaja di kokak dan digigit, tetapi dilakukan sesuatu sehingga hampir patah tangan,” katanya seperti dilapor media Ahad lepas.

Zahid membangkitkan isu tersebut sebagai respon kenyataan Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin. Bekas perdana menteri terbabit menawarkan kerjasama antara tiga parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ada baiknya kita tanya Annuar Musa. Ahli parlimen Ketereh itu lebih tahu cerita sebenar. Malah dialah yang beriya-iya menggerakkan MN sehingga wujud.

Annuar ketika itu sebagai Setiausaha Agung Umno. Tiba-tiba selepas MN muncul dan menjalar luas, jawatan Annuar pula ditarik balik.

Setiausaha Agung Umno kemudian diberi kepada Ahmad Maslan. Berdasar kronologi itu tidak sukar untuk memahami siapa sebenarnya diselimuti fatamorgana.

Begitu juga ajakan Bersatu menyertai MN. Pada awalnya dipersetujui pemimpin PAS dan Umno. Malah ada kenyataan media mempelawa Bersatu juga menyertai MN.

Malangnya selepas itu senyap sedu. Kata Tok Guru Abdul Hadi sikap pemimpin Umno yang menimbulkan masalah. Inilah di sebalik cerita mengapa pendaftaran MN tertangguh sehingga sekarang. – HARAKAHDAILY 5/8/2022

- Advertisement -