1.2 juta pemilih muda: Berapa peratus akan undi PAS?

- Advertisement -

BUKIT GANTANG: Sasaran PAS untuk menambah 50,000 keahlian baru sehingga akhir tahun ini mampu dicapai dengan pengemblengan usaha secara aktif dari semua peringkat, demikian diyakini Naib Presiden PAS, Senator Datuk Idris Ahmad

“Berikutan penambahan jumlah pengundi baru yang mencecah 1.2 juta orang, maka jentera parti perlu berusaha untuk mendekati mereka dan memperkenalkan PAS.

“Sebagai permulaan, setiap ahli PAS perlu memastikan ahli keluarga mereka mendaftar sebagai pemilih dan menjadikan PAS sebagai wadah perjuangan mereka.

“Para ahli perlu berkongsi dengan keluarga mereka pengalaman menyertai progam dan aktiviti PAS agar menimbulkan minat dan kefahaman mereka dengan perjuangan parti,” ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata demikian sewaktu merasmikan Kempen PAS Pilihanku dan Sambutan Kemerdekaan Ke-65 peringkat Parlimen Bukit Gantang. 

Turut hadir, Yang Dipertua dan Timbalan serta Naib Yang Dipertua PAS Bukit Gantang, Rahim Ismail dan Zulkefly Ahmed serta Muhammad Faisal Abdul Rahman merangkap pengarah program.

“Sekiranya ditanya kepada pemilih muda siapakah yang akan mereka undi pada PRU akan datang, ramai yang akan mengatakan bahawa mereka masih belum membuat pilihan,” katanya.

Justeru itu serunya, entiti-entiti PAS seperti Dewan Pemuda, Muslimat, Ameerah, Alternative Riding Club (ARC) dan Jabatan Amal Malaysia perlu mengatur program yang bersesuaian untuk mendekati golongan ini. 

“Ramai di antara mereka yang keberatan untuk menyertai parti tetapi tertarik dengan aktiviti-aktiviti yang kita dianjurkan seperti kejohanan sukan, program kesukarelawan, kebajikan dan kemasyarakatan,” tambahnya lagi.

Pada pelancaran program tersebut, wakil-wakil PAS Cawangan menerima bendera Jalur Gemilang dan PAS sebagai simbolik bermulanya kempen meraikan kemerdekaan tanahair tahun ini.

Pelbagai acara disusun sepanjang bulan kemerdekaan kali ini seperti Pertandingan Hiasan Tercantik Pusat Tarbiah dan PASTI, Pertandingan Keahlian Baru Tertinggi, Warna-Warni Anak Merdeka, Berjalan Teguh Bersama, Merdeka Ride, Count Down Merdeka, pertandingan motosikal dan banyak lagi. – HARAKAHDAILY 5/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -