Batalkan PTP Bertam, tambah baik SIA

- Advertisement -

LEKAS menyambut baik hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk tidak meneruskan cadangan projek Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) dan menggesa supaya Projek Taman Perindustrian (Penang Technology Park – PTP) Ringan dan Sederhana Pulau Pinang, Bertam yang dicadangkan juga dibatalkan.

Proses kelulusan SIA bagi PTP sebelum ini amatlah meragukan apabila kelulusan dibuat hanya melibatkan 411 responden secara tertutup tanpa pendengaran awam, sedangkan petisyen bantahan PTP sebanyak 1,662 tandatangan penduduk lebih mempunyai kredibiliti dan telah dihantar kepada beberapa agensi bertanggungjawab.

LEKAS menggesa supaya YB Menteri Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican yang juga merangkap Ahli Parlimen Kepala Batas memainkan peranan sebaiknya sebagai Menteri Kerajaan Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk meneliti kelemahan peraturan-peraturan SIA melalui bidang kuasa akta Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), khususnya melalui pindaan pada tahun 2017 iaitu Akta A1522. Kelemahan jelas terbukti melalui proses kelulusan EIA tidak telus bagi kelulusan SIA bagi PTP Bertam.

Bagi memastikan kesejahteraan hidup penduduk-penduduk setempat, masih belum terlambat bagi semua pihak memainkan peranan masing-masing memperbetul keadaan dengan membatalkan cadangan PTP berindustri ringan dan sederhana ini dan menambahbaik proses SIA.

LEKAS merakamkan ucapan tahniah atas komitmen gigih badan bertindak dan gabungan penduduk Bertam dalam memastikan pembangunan lestari dan bandar berdaya huni yang baik diutamakan untuk negeri kita.

Sekian, terima kasih.

ZIKRULLAH ISMAIL
Pengerusi, Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS) – HARAKAHDAILY 5/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -