Usah mudah buat andaian isu diviral di media sosial

Dato' Mohd Amar Nik Abdullah
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Orang ramai perlu berfikiran matang dan bijaksana sebelum membuat andaian terhadap sesuatu isu yang diketengah di media sosial.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, semua pihak terutama netizen yang hendak mengkritik seharusnya mengetahui cerita dan latar belakang terlebih dahulu.

Katanya jangan mudah menghentam kerajaan dan pemimpin tempatan tanpa usul periksa terhadap sesuatu isu diviral.

- Advertisement -

“Malah kerajaan Kelantan tidak menghalang mana-mana pihak bahkan mengalukan membantu golongan daif,” katanya selepas Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri di Dataran Warisan perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV hari ini.

Program tersebut dirasmikan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Baru-baru ini tular video warga emas yang dikenali Hod Ahmad, 72 bersama isteri serta anak mengutip barangan lusuh menggunakan beca sehingga mengundang pelbagai reaksi warga net.

Bagaimanapun Adun Pengkalan Kubor Wan Roslan Wan Hamat sebelum ini menjelaskan keluarga terbabit sering dibantu antaranya rumah yang didiami hasil bantuan kerajaan.

Selain itu menerima elaun bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima lima ahli keluarga mereka yang berjumlah RM1,400 sebulan.

Oleh itu Mohd Amar berkata, sesiapa pun boleh membantu Pok Hod dan keluarganya, namun jangan terus memberi persepsi negatif tanpa menyelidik perkara sebenar. – HARAKAHDAILY 4/8/2022

- Advertisement -