Islam ajar ikat tali persaudaraan berasas akidah

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Umat Islam hendaklah bersatu bagi menghadapi isu penghinaan terhadap agama, penyebaran maklumat palsu berkaitan agama, penularan khurafat dan tahyul terutamanya di media sosial.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail bertitah umat Islam di negeri itu mesti bersatu di bawah Manhaj Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan berpegang teguh dengannya.

“Agensi-agensi agama negeri juga mesti bergerak bersama di bawah payung Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam menggerakkan agenda dakwah dan pengurusan hal ehwal agama Islam,” titah baginda.

- Advertisement -

Baginda titah demikian ketika merasmikan Majlis Maal Hijrah Peringkat Negeri 1444H/2022M di Hotel Seri Malaysia hari ini.

Tema sambutan Maal Hijrah tahun ini ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’.

Baginda juga bertitah Islam mengajar umatnya supaya saling berkasih sayang dan mengikat tali persaudaraan berlandaskan akidah.

“Kebersamaan dan kemesraan antara kita mesti diperkukuhkan khususnya dalam mendepani cabaran ketika ini,” titah baginda.

Berangkat sama Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sementara itu sempena program berkenaan seorang pendakwah Dato’ Hussain Yee diberi anugerah Tokoh Maal Hijrah, Profesor Dato’ Kaya Bakti Dr Mohd Radhi Othman pula menerima Anugerah Maal Hijrah dan Dato’ Mohiyadin Che’ Jan diberi anugerah Jaaizah Maal Hijrah. – HARAKAHDAILY 4/8/2022

- Advertisement -