Umar prihatin nasib rakyat

Nik Muhammad Nasri Nik Malek
- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 47)

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

IBN Saad berkata: Pada tahun berlaku kemarau, Umar melihat kepada sebiji tembikai di tangan anaknya. Katanya: ‘Bakhin, bakhin! Wahai anak Amir al-Mukminin. Kamu makan buah, sedangkan umat Muhammad kurus.’

Anaknya meluru keluar sambil menangis.

Ada yang berkata: ‘Anak Umar membeli tembikai dengan sepenuh tapak tangan kurma.’

Sejarah Umar al-Khattab, Ibn Jauzi ms 87)

- Advertisement -

Daripada Umar bin Maimun, katanya: ‘Aku lihat Umar al-Khattab ra sebelum berlaku pembunuhannya beberapa hari di Madinah, beliau berdiri mengadap Huzaifah bin Al-Yaman dan Osman bin Hunaif, katanya: ‘ Bagaimana kamu berdua buat? Aku bimbang kamu berdua memikul beban di bumi, apa yang tak mampu kamu pikul.’

Kedua-duanya menjawab: ‘Kami pikul tugasan yang kami mampu pikul.’

Umar berkata: ‘Cuba tengok kalau-kalau kamu pikul apa yang kamu tak sanggup pikul.’

Kedua-duanya menjawab lagi: Tidak.

Umar berkata: ‘Demi Allah! Jika Allah biarkan aku masih hidup, aku tidak tinggalkan ibu-ibu tunggal di Iraq sehingga mereka tidak perlu lagi kepada orang lain selepasku.’

Tidak berapa lama, iaitu selepas empat hari, Umar dibunuh.

(Sejarah Umar al-Khattab, Ibn Jauzi ms135)

Dari dua kisah yang dibawakan kali ini mengenai Umar, ia menggambarkan betapa khalifah Islam yang kedua ini sangat prihatin, mengambil berat, sensitif dan cakna terhadap rakyat.

Tidak kiralah ia berkait dengan makanan, tugasan, rakyat, termasuk ibu tunggal atau apa sahaja yang melibatkan kepentingan rakyat teramai.

Saya pernah nyatakan sebelum ini dalam artikel yang lepas, bahawa prestasi khidmat Umar bertaraf A plus. Mahu nencabarnya? Tak mungkin.

Ia menjadi tanda aras bagi orang lain untuk cuba mengikuti sifat-sifat yang baik yang ada kepada Umar al-Khattab, samada melibatkan sifat peribadi atau ketika menjadi pemerintah.

Jangan ada yang salah-faham, sengaja buat tak faham atau memang mahu mencari peluang untuk mengecam, menghentam pemerintah atau sesiapa sahaja yang tidak disukai atau tidak sama warna benderanya.

Agama itu nasihat. Yang saya bawakan dalam siri keadilan Islam ini, tidak lain, melainkan hanya mahu menasihat kepada orang yang patut dinasihat.

Jika ada yang mengambil kesempatan mengecam, menghentam seseorang dari artikel-artikel ini, itu memang sifatnya.

Yang baik ambil jadikan teladan. Yang buruk, suka mengecam, tiada adab, jangan dilayan.

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu. – HARAKAHDAILY 4/8/2022

- Advertisement -