Normalisasi budaya Barat melalui pesta Oktoberfest

- Advertisement -

SAYA menyokong penuh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Ustaz Idris Ahmad yang menyatakan bahawa pesta arak yang dibuat secara terbuka hanya akan menimbulkan masalah sosial sekali gus menjejaskan keharmonian, ketenteraman dan keselamatan rakyat.

Kenyataan ini selari dengan salah satu daripada sumber hukum Islam, sadd az-zari’ah iaitu menutup pintu-pintu atau jalan-jalan yang boleh membawa kepada perkara yang diharamkan. 

Pesta minum arak jelas sekali akan membawa kepada perkara yang diharamkan seperti merosakkan akal, kehilangan nyawa dan sebagainya. Oleh itu, jelas sekali larangan Menteri bagi menjalankan pesta yang membawa mudarat ini amat bertepatan. 

Selain itu, pesta yang diadaptasi daripada budaya Barat ini hanya akan membawa satu normalisasi baru kepada masyarakat Islam khususnya sehingga menatijahkan umat Islam semakin berani menolak amalan dan hukum Islam atas dasar kebebasan. 

Namun begitu, saya tidak menafikan bahawa agama Islam turut menghormati agama lain dengan tidak melarang penganut agama lain untuk meminum arak, walau bagaimanapun larangan ini tidak dikecualikan ke atas umat Islam menyebabkan penganjuran pesta Oktoberfest seperti ini tidak sesuai diadakan di negara kita yang majoritinya penganut Islam. 

Justeru, saya menegaskan bahawa kenyataan Menteri berkenaan penganjuran Oktoberfest tidak sewajarnya diputar belit sehingga menjejaskan keharmonian selain menyokong larangan penganjuran pesta-pesta yang boleh membawa kepada normalisasi Barat kepada umat Islam khususnya.

“Islam Menyatukan Ummah”

YB USTAZ WAN HASSAN RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 3/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -