RUU Produk Tembakau dan Merokok selari fatwa merokok

- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi menggubal Akta Produk Tembakau dan Merokok 2022 perlu disokong khususnya oleh seluruh umat Islam di negara ini kerana sudah jelas ia adalah selari dengan fatwa bahawa merokok adalah haram di Malaysia.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi, berkata isu merokok perlu dipandang serius oleh umat Islam kerana sudah wujud fatwa yang jelas mengenai isu rokok di Malaysia dan pembentangan RUU berkenaan perlu disokong.

- Advertisement -

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke – 37 yang bersidang  di Kuala Lumpur pada 23 Mac 1995 telah membincangkan isu mengenai Hukum Merokok Dari Pandangan Islam; dan telah bersetuju untuk memutuskan dengan jelas bahawa ‘Merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan’.

“Pembentangan RUU Produk Tembakau dan Merokok 2022 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) buat pertama kali di Dewan Rakyat pada 27 Julai lalu oleh Menterinya, Khairy Jamaluddin adalah satu inisiatif yang baik oleh pihak kerajaan dalam usaha membebaskan generasi akan datang daripada tabiat buruk merokok.

“Secara tidak langsung, ia dapat mencegah dari penyakit yang akan menelan perbelanjaan yang besar kepada kerajaan untuk merawat penyakit yang berpunca daripada tabiat merokok,” ujarnya. 

Ahmad Yunus

RUU berkenaan bakal memperkenalkan inisiatif generasi penamat (GEG) melalui penguatkuasaan larangan merokok ke atas individu yang lahir pada 2007 dan selepas itu.  

Ia bermakna melarang individu yang lahir pada dan selepas 2007 dilarang di bawah undang-undang daripada merokok, membeli atau memiliki produk tembakau dan peranti merokok.

Menurut Ahmad Yunus lagi, walaupun kerajaan tidak dapat menghalang seratus peratus aktiviti merokok dalam kalangan rakyat Malaysia tetapi sekurang-kurangnya langkah ke arah perkara itu telah bermula dengan pembentangan RUU berkenaan.

Sehubungan itu, beliau memberitahu bahawa  Selangor sudah lama memfatwakan merokok adalah haram disebabkan kesan kemudaratan kepada perokok dan bukan perokok itu sendiri.  

Pengharaman merokok di Selangor sudah ditetapkan dalam Fatwa Tentang Merokok yang diwartakan pada 7 Disember 1995.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi pernah berkata bahawa MAIS memandang positif keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri itu.

Pada 19 Januari 2016, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memutuskan bahawa penggunaan rokok elektronik atau vape adalah haram disebabkan kesan kemudaratan (buruk dan penyakit) kepada perokok, tidak berfaedah dan membazir. 

Khairy Jamaluddin ketika membentangkan RUU Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat pada 2 Ogos 2022. (FOTO: BERNAMA)

Merokok dan meminum arak sememangnya diharamkan bagi umat Islam pada setiap masa, sama ada dilakukan di tempat awam atau di kawasan persendirian.

Fatwa berkaitan pengharaman merokok jelas dengan menerangkan bahawa merokok adalah haram. Oleh yang demikian, adalah haram bagi mana-mana orang Islam menghisap apa–apa jenis rokok.

“Pengharaman meminum arak ada terkandung dalam ayat 90, Surah Al-Maidah. Sementara dalam Surah al-A’raf, ayat 157 bermaksud: “Ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”. 

“Bagi maksud fatwa ini, (definisi) ‘rokok’ ialah tembakau yang digulung dengan kertas atau daun nipah atau selainnya,” ujar kenyataan mengenai fatwa berkenaan.

Sementara, mengulas mengenai persetujuan KKM untuk melaksanakan empat pindaan pada RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, Ahmad Yunus berkata, ia lebih sebagai bentuk pengajaran kepada mereka yang ingkar dan harus dipatuhi oleh semua pihak.

“Usaha dalam bentuk pendidikan mengenai kesan buruk merokok juga seharusnya sentiasa disampaikan kepada masyarakat bahawa ‘mencegah lebih baik dari mengubati’,” tegas beliau.

Khairy dalam kenyataannya pada 1 Ogos lalu berkata, keputusan membuat keempat-empat pindaan tersebut dibuat selepas beliau bertemu serta berbincang dengan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial Parlimen, serta PSC Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen.

Beliau memaklumkan, antara pindaan dipersetujui itu ialah mengurangkan kadar denda am untuk GEG sebanyak 90 peratus, di samping tidak mengenakan hukuman bagi kesalahan memiliki rokok dan barangan larangan lain bawah RUU itu bagi individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya

Selain itu, katanya, KKM bersetuju memasukkan khidmat komuniti sebagai antara pilihan hukuman dalam RUU berkenaan.

Generazi Z antara yang bakal termaktub di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Akta Produk Tembakau dan Merokok 2022.

“Pertemuan (dengn PSC Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial Parlimen, serta PSC Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen) itu produktif, dan atas semangat bipartisan, saya bersetuju membuat beberapa pindaan (terhadap RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022).

“Pertama, mengurangkan kadar denda am untuk GEG dalam akta ini daripada RM5,000 kepada RM500. Kedua, menambah khidmat komuniti sebagai pilihan berbanding denda (yang dimandatkan mahkamah).

“Ketiga, tiada pemeriksaan tubuh terhadap mana-mana individu bawah usia 18 tahun. Keempat, tiada hukuman untuk kesalahan pemilikan yang berkait dengan GEG.

“Dengan keputusan ini, majoriti daripada cadangan yang dikemukakan oleh kedua-dua PSC sudah dilaksanakan sebagai pindaan dalam RUU,” kata Khairy menerusi Twitter. – HARAKAHDAILY  03/08/2022

- Advertisement -