Usaha laksana perundangan syariah tidak pernah terhenti

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri tidak pernah berhenti untuk memastikan Kanun Jenayah Syariah II dapat dilaksanakan termasuk melakukan pelbagai usaha bagi memberi kefahaman kepada masyarakat.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, biarpun nampak senyap dari segi perundangan namun usaha untuk kefahaman kepada masyarakat berterusan dilakukan termasuk mengadakan sambutan hari Hududullah.

“Langkah sebegini tidak lain tidak bukan adalah ingin memberi kesedaran dan memberi kefahaman kepada masyarakat yang selama ini mungkin berpandangan negatif terhadap undang-undang Islam.

“PAS Kelantan akan meneruskan agenda memperjuangkan matlamat untuk melaksanakan hudud di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas perasmian sambutan Hari Hududullah peringkat negeri di Dewan Besar Balai Islam, Kompleks Islam Darulnaim, di sini hari ini.

- Advertisement -

Malah kata beliau kerajaan negeri akan terus mengorak langkah bagi membolehkan sebahagian undang-undang hudud dapat dilaksanakan di negeri itu.

“Matlamat PAS adalah untuk memperjuangkan syariat Islam termasuk hudud. Jadi perkara ini kekal sebagai agenda dan perjuangan kita sama sekali tidak berubah.

“Ada orang tanya kenapa kita senyap.. cuma dalam keadaan sekarang keutamaan yang perlu diberi untuk memastikan kerajaan Persekutuan sekarang terus kekal dan stabil.

“Mungkin selepas Pilihan Raya Umum (PRU) seandainya suasana mengizinkan kita akan terus dan kemukakan semula,” katanya.

Kata beliau juga usaha memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai hudud sentiasa dibuat secara berterusan bagi memberi kesedaran terhadap tanggungjawab melaksana perundangan Islam.

Bagaimanapun katanya, dari segi kelulusan pelaksanaan undang-undang itu ia bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sebaliknya perlu diputuskan kerajaan Persekutuan.

“Malah RUU 355 sekarang di peringkat Persekutuan. PAS sebelum ini mengemukakan draf cadangan di parlimen untuk meminda perlembagaan bagi memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah supaya bidang kuasa syariah diperluaskan.

“Kedua memberi peluang kepada kerajaan negeri melaksanakan undang-undang dalam bidang kuasa yang ada. Cuma dalam istilah dipanggil RUU 355.

“Apa pun kita serah kepada kerajaan Pusat sebab kita di peringkat negeri sudah selesai. Kita sudah lulus cuma tidak boleh dilaksana kerana benda ini bidang kuasa di peringkat parlimen,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/8/2022

- Advertisement -