Bertentangan budaya, nilai masyarakat Malaysia dan Islam

Pesta arak Oktoberfest

- Advertisement -

GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH) telah meneliti soalan Ahli Parlimen DAP Lim Guang Eng dan kenyataan Ahli Parlimen DAP Raub Tengku Zulpuri Shah Tengku Puji yang mempersoalkan kenyataan Menteri Agama YB Senator Idris Ahmad berkaitan perayaan secara terbuka Oktoberfest.

Kedua-dua Ahli Parlimen DAP ini senada menyokong agar Oktoberfest ini tidak dihalang atas alasan kebebasan sosial dan perniagaan.

Oktoberfest adalah perayaan yang bermula daripada Barat yang mempromosikan minuman bir (arak) secara besar-besaran yang dimulakan di sebuah bandar di Munich Jerman. Ia dilihat amat bertentangan dengan nilai dan budaya masyarakat Malaysia lebih-lebih lagi agama Islam.

Soalnya mengapa penting sangat dengan Oktoberfest yang langsung tiada kena mengena dengan masyarakat negara kita yang terdiri daripada orang Melayu, Cina dan India yang majoriti beragama Islam dan kebebasan agama serta budaya kaun lain tidak dihalang untuk diamalkan.

Oktoberfest bukan budaya masyarakat Melayu mahu pun agama Islam dan juga bukan budaya kaum Cina dan India, malah budaya minum arak ditegah keras oleh Islam dan juga agama lain kerana kajian menunjukkan ia memudharatkan kepada kesihatan dan boleh menimbulkan pelbagai masalah sosial.

UMMAH menyokong penuh kenyatan Menteri Agama dan kerajaan yang tegas supaya perayaan sambutan Oktoberfest tidak sepatutnya dibenarkan dibuat secara terbuka kepada masyarakat awam dengan semua pihak menghormati peraturan negara yang memelihara kesucian agama Islam sebagai agama Persekutuan juga nilai budaya masyarakat Timur.

Tidak semua perayaan luar boleh di‘import’ masuk ke negara ini secara sewenangnya. Ia mestilah melihat kepada kesesuaian agama dan budaya masyarakat negara kita.

Menjaga dan memelihara masyarakat yang harmoni dan sejahtera lebih baik daripada menyokong mempromosikan budaya yang bertentangan dengan agama dan budaya Timur rakyat kita.

MOHD ZAI MUSTAFA
Pengerusi
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) – HARAKAHDAILY 3/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -