Bakat, kebolehan Muhammad Azeem perlu terus digilap

KUALA LUMPUR: Bakat serta kebolehan atlet pecut muda negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi perlu terus digilap supaya dapat memberi lebih banyak kejayaan pada masa akan datang, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata kejayaan yang dilakar Muhammad Azeem yang menduduki tempat kelima dalam saingan final acara 100 meter (m) lelaki di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) di Cali, Colombia, merupakan pencapaian yang cukup mengujakan seluruh rakyat Malaysia.

Advertisement

Katanya apa yang lebih membanggakan adalah atlet berusia 18 tahun itu berjaya memecahkan rekod kebangsaan di kejohanan itu dengan catatan masa 10.09s dalam pusingan awal.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus berusaha dan menyokong sebarang usaha meningkatkan pencapaian atlet dalam semua disiplin demi kemajuan sukan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Faizal memaklumkan KBS sedang menimbangkan untuk menaik taraf trek balapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Ipoh bagi melahirkan lebih ramai atlet berbakat dan berpotensi dalam sukan olahraga.

SMK Gunung Rapat merupakan sekolah kluster sukan yang telah melahirkan ramai atlet termasuk Muhammad Azeem.

“Semoga segala usaha untuk mengembangkan kemajuan dan industri sukan di negara ini mendapat sokongan semua pihak agar nama Malaysia terus harum di persada antarabangsa,” katanya.

Selepas mencipta rekod baharu kebangsaan dalam pusingan awal semalam, Muhammad Azeem turut mencapai sasaran utamanya di Cali iaitu melayakkan diri ke pusingan akhir selepas menamatkan saringan tiga separuh akhir di tempat kedua dengan masa 10.19s, kira-kira 4.50 pagi ini waktu Malaysia.

Seterusnya di pentas final, beliau menamatkan saingan di tempat kelima selepas merekodkan 10.14s di belakang atlet Botswana, Letsile Tebogo yang mencipta rekod dunia B-20 dengan catatan 9.91s sekali gus meraih pingat emas diikuti perak milik Bouwahjgie Nkrumie dari Jamaica (10.02s) sementara wakil Afrika Selatan Benjamin Richardson merangkul gangsa dengan masa 10.12s.

Muhammad Azeem yang merupakan atlet kelahiran Perak turut akan mengambil bahagian dalam acara 200m di Cali dengan acara itu dijadual bermula awal pagi esok waktu Malaysia. – BERNAMA