Kaji semula rokok, alkohol murah di ZPB

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melihat semula keadaan di Zon Perdagangan Bebas (ZPB) yang menjadi tumpuan rakyat untuk membeli rokok dan alkohol dengan harga lebih murah.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman, mempersoalkan keadaan itu yang boleh memberi kesan terhadap kempen kerajaan untuk mengurangkan pendedahan generasi baharu daripada rokok dan vape serta mengurangkan pengambilan alkohol di kalangan rakyat.

- Advertisement -

“ZPB perlu melihat peraturan atau cukai yang tidak dikenakan sebelum ini. Nampaknya ini memberi kesan negatif terutama kepada isu berkaitan kesihatan rakyat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Zon Bebas (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau juga membangkitkan isu ZPB Bukit Kayu Hitam di Kedah, terutama dari segi transaksi jual beli selepas kesuraman yang sangat kritikal ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 yang memberi kesan sangat besar kepada zon itu.

“Saya juga ingin bertanya mengenai ZPB Wang Klian (Perlis) yang sebelum ini jual beli sangat rancak. Namun dalam senarai kemas kini laman sesawang Jabatan Kastam Diraja Malaysia, ZPB Wang Klian tidak lagi disenaraikan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi meminta kerajaan memastikan lokasi Zon Perindustrian Bebas dari segi kesamarataan dan keseimbangan antara negeri kerana Johor mempunyai 8 lokasi zon berkenaan, tetapi tidak banyak di beberapa negeri lain, termasuk Kedah.

Katanya, adakah kewujudan Zon Perindustrian Bebas adalah hasil inisiatif kerajaan negeri sendiri atau pihak berkuasa tempatan atau kementerian sendiri.

“Saya melihat perlu ada satu garis panduan atau cadangan awal yang dikeluarkan kementerian sendiri bagi memastikan kewujudan Zon Perindustrian Bebas sama rata di seluruh negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/8/22

- Advertisement -