Senarai semula angkat berat sebagai sukan teras negara

Foto daripada Facebook Faizal Azumu.
- Advertisement -

IPOH: Sudah tiba masanya sukan angkat berat disenaraikan semula sebagai sukan teras negara dalam usaha memperkukuh aktiviti pembangunan atlet, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata ini kerana semakin ramai bakat dalam sukan itu menyerlah khasnya apabila dua pingat emas disumbangkan kem angkat berat negara di Sukan Komanwel Birmingham 2022 setakat ini.

“Saya percaya Majlis Sukan Negara (MSN) tentu akan memberi sekali lagi perhatian untuk mengembalikan sukan angkat berat menjadi sukan teras,” katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Terbuka Golf Amatur Perak 2022 di sini malam tadi.

- Advertisement -

Turut hadir Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Ahmad Faizal bagaimanapun menegaskan sukan berkenaan bukan baru diberi perhatian pihaknya sekarang, disebabkan pingat emas yang diperoleh di Birmingham.

Malah, katanya beliau telah pun mengarahkan supaya fasiliti bagi sukan angkat berat diperbaiki sebelum ini susulan lawatannya ke tempat latihan para atlet acara itu kerana mendapati ia agak terbelakang.

“Sebelum mereka menang pun sudah dapat perhatian Kementerian Belia dan Sukan, bukan menang baru dapat perhatian. Sebelum ini, saya sudah bagi banyak bantuan kepada mereka,” katanya.

Angkat berat menjadi antara tiga sukan yang digugurkan daripada senarai sukan teras negara selain sepak takraw dan taekwondo pada 2017, susulan prestasi sukan angkat berat itu yang semakin merosot serta pelbagai masalah disiplin seperti kegagalan beberapa atletnya dalam ujian doping.

Mengenai Terbuka Golf Amatur Perak 2022 yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini, Ahmad Faizal berkata seramai 122 pemain termasuk dari negara Afrika Selatan, China dan Iran akan berentap.

Katanya kerajaan melalui KBS sentiasa memberi sokongan acara anjuran MGA bersama Kelab Golf Diraja Perak itu dan percaya golf mempunyai potensi besar dalam kalangan pemain Malaysia dan berharap dapat mencungkil bakat baharu dari seluruh negara. – BERNAMA

- Advertisement -