Berubah tempat tidak halang ribuan hadiri Himpunan Hijau 3.0

Suasana selepas Solat Maghrib berjemaah semasa Himpunan HIjau 3.0, di Pantai Sepat di sini. Foto Ihsan Facebook PAS Negeri Pahang.
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUANTAN: Himpunan Hijau 3.0 atau Himpunan 20,000 (H20k) pelancaran jentera PAS Pahang menerima sambutan tinggi walaupun terpaksa berubah lokasi daripada Stadium Jengka, Maran ke Pantai Sepat, di sini.

Perbezaan jarak 141 kilometer (KM) dari lokasi asal itu tidak mematahkan semangat jentera PAS Pahang untuk berhimpun menunjukkan kesedian untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka berlangsung penghujung tahun ini.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, Pahang adalah negeri yang luas dan memerlukan perjalanan yang panjang untuk jentera hadir memberi komitmen.

Namun, himpunan dan sambutan penuh bersemangat pada Ahad, menggambarkan jentera parti itu sedia untuk terus beri komitmen kepada parti.

“(Mungkin) selepas ini kita akan buat satu lagi himpunan menjelang pilihan raya sebagai persediaan akhir, untuk menyambut PRU15.

“Himpunan hari ini asalnya mahu dibuat di Stadium Jengka, sudah diluluskan pada 1 Julai, namun pada 6 Julai telah dibatalkan, sebab itu kita buat di sini (Pantai Sepat).

“Alhamdulillah, walaupun berpindah tempat dari cadangan asal, tetapi tuan puan sanggup hadir. Semoga Allah membalas segala penat-lelah tuan puan sekalian dengan syurga Allah,” katanya semasa berucap pada Himpunan Hijau 3.0 atau H20k di Pantai Sepat, di sini, pada Ahad.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar

Hadir sama, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah.

Pelbagai program dianjurkan sepanjang hari bersempena Himpunan Hijau 3.0 di Pantai Sepat, antaranya acara larian Green Run, bola sepak pantai, konvoi kebajikan dan sambutan hari lahir peserta.

Gubahan buah, kupas buah paling pantas, anyam ketupat, mewarna dewasa, teka rempah ratus, batu seremban, musang berjanggut, shooting netball, boling kelapa, replikasi gergasi dari barangan terpakai, dam gergasi, upih kepala dan banyak lagi. – HARAKAHDAILY 2/8/2022

- Advertisement -