Takziah buat keluarga Allahyarham Abdul Khalid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya, seluruh saf pimpinan dan ahli-ahli PAS Selangor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mantan Menteri Besar Negeri Selangor, Allahyarham Tan Sr Abdul Khalid Ibrahim yang telah pulang ke rahmatullah pukul 11.08 malam tadi.

- Advertisement -

Setiausaha PAS negeri, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, sesungguhnya Allahyarham anak jati Jeram, Kuala Selangor adalah negarawan yang terbilang, menteri besar yang terbaik dalam rekod, yang cukup kompeten. bersih dan paling berintegriti.

“Allahyarham sangat dihormati dan disayangi rakyat jelata negeri ini termasuklah oleh ahli-ahli PAS seluruh Selangor,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pemergian Allahyarham satu kehilangan besar buat rakyat dan negara.

Justeru, ujarnya PAS Selangor mengarahkan ahli-ahlinya untuk turun memberi penghormatan pada jenazah pemimpin dan anak Selangor yang luar biasa itu.

“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Menerusi kenyataan di laman rasmi bekas Menteri Besar Selangor itu, Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 23 April yang lalu akibat jangkitan pada injap jantung.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

“Sejurus usai di Masjid Umar Al Khattab jenazah akan dibawa ke Masjid Negeri Shah Alam bagi memberi peluang kepada rakyat di Selangor yang mahu memberikan penghormatan terakhir dan melakukan solat jenazah.

“Atas titah dan limpah kurnia DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Al-Haj jenazah akan disemadikan di Makam Diraja Shah Alam,” menurut kenyataan itu lagi. – HARAKAHDAILY 1/8/2022

- Advertisement -