Almarhum Abdul Khalid sangat berjasa besar kepada negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas pemergian beliau pada malam tadi.

“Almarhum seorang yang sangat berjasa besar kepada tanah air Malaysia ini,” ujarnya menersui catatan di Facebook beliau, hari ini.

Menurutnya, antara jasa Almarhum adalah Dawn Raid yang menyaksikan pengambil alihan Syarikat Guthrie yang memiliki banyak aset negara pada ketika itu kembali kepada rakyat Malaysia.

- Advertisement -

“Di samping itu, beliau juga insan yang bertanggungjawab membangunkan Selangor semasa beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

“Almarhum juga banyak membantu PAS dengan pengetahuan dan pengalaman beliau apabila dilantik menjadi penasihat ekonomi Negeri Terengganu,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Sesungguhnya, kata beliau negara kita telah kehilangan sebuah permata yang sukar untuk dicari ganti.

“Semoga Allah mencucuri rahmat kepada almarhum, diterima amal soleh, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan di kalangan para solihin,” tambahnya.

Catatan di Facebook bekas Menteri Besar Selangor itu menyatakan Abdul Khalid telah pulang ke rahmatullah pada pukul 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.

“Allahyarham dengan tenang dan disaksikan oleh semua ahli keluarganya,” menurut catatan itu, malam tadi.

Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 23 April yang lalu akibat jangkitan pada injap jantung.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

“Sejurus usai di Masjid Umar Al Khattab jenazah akan dibawa ke Masjid Negeri Shah Alam bagi memberi peluang kepada rakyat di Selangor yang mahu memberikan penghormatan terakhir dan melakukan solat jenazah.

“Atas titah dan limpah kurnia DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Al-Haj jenazah akan disemadikan di Makam Diraja Shah Alam,” menurut catatan itu lagi. – HARAKAHDAILY 1/8/2022

- Advertisement -