KUALA LUMPUR: “Kita kehilangan negarawan berjiwa besar,” kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man susulan kepulangan ke rahmatullah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, malam tadi.
Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) berkata, sudah pasti kita semua amat sedih atas pemergian Almarhum.
Menurutnya, Almarhum seorang yang kuat bekerja dan gigih berjuang demi kebaikan rakyat dan negeri Selangor khususnya.
“Marilah kita menadah tangan mendoakan supaya Allah mengampuni, merahmati, mengasihi dan menempatkan Almarhum bersama orang-orang yang beriman.
“Mewakili PAS dan KASA, dengan penuh hiba saya merakamkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga dan kenalan Almarhum,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata menerima khabar dukacita hampir tengah malam tadi mengenai pemergian Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.
Menurutnya, Allahyarham banyak memainkan peranan membantu memberi pandangan dan nasihat yang relevan dalam memantapkan ekonomi negeri itu.
“Sesungguhnya saya merasa amat berdukacita dan marilah sama-sama kita doakan agar roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang yang soleh,” ujarnya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Menerusi kenyataan di laman rasmi bekas Menteri Besar Selangor itu, Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 23 April yang lalu akibat jangkitan pada injap jantung.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.
“Sejurus usai di Masjid Umar Al Khattab jenazah akan dibawa ke Masjid Negeri Shah Alam bagi memberi peluang kepada rakyat di Selangor yang mahu memberikan penghormatan terakhir dan melakukan solat jenazah.
“Atas titah dan limpah kurnia DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Al-Haj jenazah akan disemadikan di Makam Diraja Shah Alam,” menurut kenyataan itu lagi. – HARAKAHDAILY 1/8/2022