RUU Anti Lompat Parti dorong anak muda keluar mengundi

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti yang diluluskan di Dewan Rakyat dianggap boleh memberi nafas baru kepada golongan belia mendekati perkembangan politik tanah air.

Dr Marwan Ismail Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkata, sebelum ini mereka muak dengan gelagat ahli politik yang didakwa tidak menghormati mandat diberi rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Katanya, anak muda melihat strategi wakil rakyat tertentu menukar parti bagi menjaga kepentingan peribadi sehingga ramai dalam kalangan pengundi 18 tahun tidak minat berpolitik.

“Perkara itu terbukti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor yang menyaksikan jumlah keluar mengundi sangat rendah 51 hingga 53 peratus sahaja berbanding 70 peratus amalan biasa demokrasi.

- Advertisement -

“Saya menjangka golongan muda khususnya Undi18 akan turun menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya akan datang setelah RUU Anti Lompat Parti dilulus di Dewan Rakyat.

“Anak-anak muda mulai memahami inisiatif kerajaan sekarang yang serius membendung gejala lompat parti,” katanya ketika ditemui di sini.

Pada Khamis lepas RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti diluluskan selepas bacaan kali ketiga dengan sokongan majoriti dua pertiga.

Seramai ahli parlimen 209 menyokong, manakala 11 lagi tidak hadir pada undi belah bahagian yang diadakan.

Dr Marwan turut menjangka anak-anak muda akan turun membuang undi pada PRU15 memandangkan mandat yang diberi rakyat tidak akan disia-siakan lagi dengan adanya akta tersebut.

Menurutnya juga idea khemah besar dianggap pendekatan paling sesuai selepas PRU15 untuk membentuk sebuah kerajaan yang mampu mengemudi pentadbiran negara.

“Kemungkinan besar akan berlaku gabungan parti kecil sekiranya kumpulan parti besar tidak mampu membentuk sebuah kerajaan yang kuat nanti.

“Saya kira idea khemah besar yang dicetuskan akan berlaku selepas PRU15 nanti,” katanya yang juga pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan UMK.

Pengerusi Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Azwan Mat Hussain turut menyambut baik usaha yang dilakukan kerajaan bagi mengekang wakil rakyat sering bertukar parti. – HARAKAHDAILY 1/8/2022

- Advertisement -