Kelantan rintis usaha halang Adun belot

DUN Kelantan.
- Advertisement -

Oleh M FAQIH

KETIKA
perhatian tertumpu di Dewan Rakyat Khamis lepas, rupanya isu serupa pernah geger di Kelantan 31 tahun lalu. Wakil rakyat di negeri itu sudah memikirkan kepentingan larangan melompat parti.

Maknanya pemikiran mereka mendahului zaman. Isu tersebut begitu panas di Kelantan ketika itu. Mengapa tidaknya. Lompat parti boleh menggugat kerajaan.

Ia benar-benar berlaku sekarang. Bagi anak muda yang lahir era melenium tentunya belum mengingati apa yang berlaku di usia setahun jagung.

Namun, sejarah yang dirintis di Kelantan cukup penting. Malah boleh dikatakan PAS sudah lama merintis usaha menghalang wakil rakyat belot.

Kesan wakil rakyat belot bukan kecil. Biarpun ketika itu tiada pembangkang di Dun Kelantan, namun pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti cukup penting.

- Advertisement -

Angkatan Perpaduan Ummah yang mentadbir Kelantan ketika itu mempunyai 39 Adun. Mereka terdiri daripada PAS, Semangat 46, Berjasa dan Hamim.

Biarpun tiada pembangkang di Dun, Adun kerajaan di Kelantan mengambil langkah ke hadapan. Mereka tidak mahu mandat rakyat disia-siakan kerana agenda peribadi seseorang pemimpin.

Pada 25 April 1991 Dun Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) halang lompat parti. Pindaan itu dibuat selepas dua Adun Semangat 46 belot.

Nordin Salleh yang menang di Sungai Pinang mengumumkan keluar Semangat 46 pada 27 Mac 1991. Kemudian diikuti Adun Limbongan Wan Najib Wan Mohamed pada 10 April 1991.

Oleh itu bagi membendung lebih ramai Adun belot, Dun Kelantan meluluskan RUU antilompat parti. Pindaan Perlembagaan Negeri Kelantan antara lain menyebut mana-mana Adun keluar parti atau dipecat daripada parti terlucut kedudukan di Dun.

Pindaan tersebut berkuatkuasa pada 18 November 1990. Anak muda perlu menghadamkan sejarah yang berlaku itu. Ia memperlihatkan sebab musabab pindaan terbabit dibuat. Ia bukan perkara main-main.

Nordin dan Wan Najib tahu tindakan keluar parti akan berdepan dengan tindak balas Dun. Sidang Dun Kelantan pada 3 Julai 1991 akhirnya melucutkan keahlian Nordin dan Wan Najib.

Berikutan itu PRK di kedua-dua kerusi diadakan pada 24 Ogos 1991.
Pada PRK tersebut dua Adun lompat terbabit bertanding semula. Mereka mewakili Barisan Nasional (BN).

Peranan Umno di sebaliknya kedua-dua Adun melompat akhirnya terserlah juga. Pada PRK tersebut kedua-dua calon BN terbabit kalah. Mahmud Yaakub dari Semangat 46 menang dengan majoriti 1,994 undi mengatasi Nordin.
Manakala Wan Najib Wan pula kecundang dengan majoriti 1,560 undi kepada Samat Mamat. Bagaimanapun mereka (Umno) membawa kes tersebut ke mahkamah.

Wakil mahkamah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 November 1991 dan Mahkamah Rayuan pada 22 Januari 1992 memutuskan perlucutan jawatan mereka tidak sah.

Dan pada 3 April 1992 Mahkamah Agung mengekalkan keputusan kedua-dua mahkamah. Biarpun tewas pada PRK, namun kerusi mereka di Dun dikembalikan semula oleh mahkamah.

Maka tidak hairanlah, ramai menggelarkan Adun terbabit sebagai ‘wakil mahkamah’ dan bukan wakil rakyat.

Selain Kelantan terdapat beberapa negeri lagi juga mempunyai undang-undang antilompat parti. Antaranya Sarawak, Pulau Pinang dan Sabah.

Bagaimanapun, undang-undang di negeri terbabit tidak berkuat kuasa kerana Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan berpersatuan.

Dan selepas 31 tahun berlalu, parlimen baru melihat penting pindaan Perkara 10(1)(c) berkaitan kebebasan berpersatuan dibuat.

Akhirnya RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti dilulus dengan sokongan 209 ahli parlimen.
Sejarah tercatat tiada ahli parlimen menentang, manakala 11 orang tidak hadir.

Dengan pindaan tersebut, ahli parlimen akan kehilangan kerusi jika bertindak keluar parti atau tidak lagi menjadi ahli parti yang ditandingi.

Berikutan kelulusan itu ada ahli parlimen menggesa negeri-negeri perlu membuat pindaan serupa. Ternyata Dun Kelantan, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang sudah lama mendahului parlimen.

Bagaimanapun ada pihak berhujah semua negeri perlu melakukan pindaan di Dun masing-masing termasuk Kelantan.

Isyarat yang berlaku di parlimen Rabu dan Khamis lepas juga memberi petunjuk lain. Tidak perlu lagi tergesa-gesa untuk dibubar parlimen.

Kerajaan Perikatan Nasional (Keluarga Malaysia) tetap stabil biarpun majoriti kecil. Ia mengulangi apa yang berlaku di Kelantan pada 2004.

Biarpun PAS mentadbir Kelantan dengan kelebihan satu kerusi, namun kerajaan masih stabil. – HARAKAHDAILY 1/8/2022

- Advertisement -