MAFI mahu petani Sabah manfaat guna teknologi moden

Nik Muhammad Zawawi melawat Taman Kekal Pengeluaran Makanan Tawau. (Foto daripada Facebook Ustaz Dr Nik Zawawi Bin Salleh)
- Advertisement -

TAWAU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersedia memberi pendedahan kepada para petani di Sabah bagi penggunaan teknologi pertanian agar menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti serta hasil keluaran tanaman.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Kedua, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata pihaknya bersedia bekerjasama dan mahu para petani di negeri ini memanfaatkan penggunaan teknologi moden seperti dilakukan petani di Semenanjung Malaysia yang kini mencapai tahap 90 peratus.

“Teknologi dan pertanian perlu berjalan seiring sebab ia boleh membantu meningkatkan hasil berkali ganda dan membantu mengurangkan pelbagai perbelanjaan termasuk kos pekerja dan pengurusan setiap hari, misalnya di Semenanjung ada teknologi canggih siram tanaman hanya dengan menekan aplikasi telefon pintar.

- Advertisement -

“Saya mengajak petani supaya gunakan teknologi sedia ada di negara kita, ini juga motif kerajaan menggalakkan revolusi pertanian supaya ke arah membantu menampung bekalan makanan negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tawau di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat pelbagai teknologi moden dari China, Jepun serta Taiwan yang boleh dimanfaatkan, selain Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi turut mengeluarkan pelbagai produk teknologi yang boleh diguna pakai.

Terdahulu, Nik Muhammad Zawawi ketika berucap pada majlis itu mengesyorkan kepada Jabatan Pertanian Sabah agar mengenal pasti kawasan yang lebih luas untuk mewujudkan TKPM baharu bagi membantu melahirkan lebih ramai petani moden.

“Saya cuba ikhtiar melalui kementerian untuk membantu para petani di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Tawau Abd Samat Injau berkata TKPM di sini merekodkan lebih 400 metrik tan pengeluaran hasil tani termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan bernilai lebih RM1.1 juta bagi tempoh Januari sehingga Jun lepas.

Menurutnya, ketika ini terdapat 58 peserta yang mengusahakan pelbagai tanaman di TKPM Tawau yang berkeluasan 96 hektar. – BERNAMA

- Advertisement -