Dr Hisham anak Melayu pertama kaji batu permata

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Pengerusi Kelab Batu Permata Fosil dan Mineral Malaysia, Dr Hisham Hashim merupakan orang Melayu pertama di Nusantara yang menulis dan membuat kajian mengenai batu permata.

Beliau mula mengumpul koleksi batu permata bermula dengan batu kecubung pada tahun 1999 sehingga 2005.

Selama tujuh tahun mengkaji mengenai batu permata sehingga berjaya mengumpul sebanyak 12 jenis batu antaranya berlian, zamrud, nilam dan marjan.

- Advertisement -

Dr Hisham berkata, semua batu yang beliau jumpai ditulis lokasi penemuan, kandungan, jenis batu dan khasiat untuk apa.

Katanya, hasil penemuan itu beliau tulis hampir 300 muka surat.

“Kebetulan ketika itu saya bersama Herba Penawar Al-Wahida (HPA) sering mengadakan kursus herba kepada masyarakat.

“Salah seorang pesertanya Allahyarham Prof Dr Kusnadi Singapermana dari Jawa, Indonesia yang merupakan kosultan di Northen Calofornia Global University turut berminat dengan penulisan saya.

“Arwah menawarkan kepada saya untuk membuat kajian secara terperinci bagi membolehkan mendapat pengiktirafan Doctor of Philosophy (PhD),” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya juga pada mulanya Dr Kosnadi bertanya sama ada beliau membuat penulisan atau tidak mengenai kajian batu permata tersebut.

Katanya, profesor terbabit berminat dengan penulisannya dan meminta salinan untuk diteliti kerana tulisan itu tidak memenuhi kriteria untuk mendapat pengiktirafan PhD.

“Lalu dia mencadangkan saya membuat kajian yang teliti untuk dikaitkan dengan bidang perubatan.

“Tesis kajian saya, ‘Batu Permata dan Nilai Perubatan.’ Setiap kejadian mempunyai kelebihannya tersediri. Begitu juga batu permata yang mempunyai pelbagai ciri, asal usul dan pembentukannya.

“Lebih 120 jenis batu permata menjadi koleksi simpanan saya,” katanya yang merupakan anak kelahiran Balik Pulau, Pulau Pinang.

Mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Methodist, Kampar, Perak (1983-1985) kemudian menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Vokasional Kangar, Perlis sehingga 1987.

Beliau mula berminat dengan batu permata selepas didedahkan arwah abangnya, Zaino Alam Hashim.

Menurutnya juga ada batu boleh digunakan untuk pesakit insomnia (gangguan tidur) yang sesuai menggunakan batu kecubung dengan mengkaji koposisi kimia yang ada dalam batu itu.

“Saya cari fakta kandungan untuk kaitkan dengan perubatan mengambil masa tujuh tahun, ada 12 jenis batu yang saya kaji. Mereka mencadangkan saya untuk uji pada tikus tetapi lebih baik uji kepada manusia,” ujarnya.

Dr Hisham sekarang masih aktif menyertai ekspedisi mencari batu permata di seluruh dunia antaranya, Indonesia dan Mesir.

Beliau sering dijemput institut pengajian tinggi (IPT) termasuk Universiti Sains Malaysia (USM) memberi ceramah dan taklimat mengenai batu permata serta nilai perubatannya.

Pada tahun 2006 beliau ditawarkan sebagai Pegawai Penyelidik di Balai Pameran Sultan Haji Hassanal Bolkiah Brunei Darussalam dalam bidang batu permata dan fosil.

“Saya bertanggungjawab membuat sijil pengesahan pada batu yang dipunyai Sultan Brunei untuk mengesahkan keaslian batu.

“Sebanyak 835 keping sijil saya keluarkan sepanjang empat tahun bekerja dengan baginda sehingga tahun 2010,” katanya yang kini menetap di Perlis. – HARAKAHDAILY 1/8/2022

- Advertisement -