Sediakan pembiayaan pendidikan anggota ATM

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, mencadangkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyediakan kemudahan pembiayaan pendidikan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hendak menyambung pelajaran.

Ahmad Fadhli Shaari berkata, setakat ini anak anggota tentera berpeluang menikmati kemudahan itu apabila menyambung pelajaran.

- Advertisement -

Sehubungan itu, katanya LTAT yang mempunyai keuntungan besar boleh menyediakan insentif bagi mengalakkan anggota tentera menyambung pelajaran kerana belajar adalah soal sepanjang hayat.

“Dalam situasi sekarang, anggota tentera walaupun mungkin sudah mempunyai tugas masing-masing, tetapi apabila menyambung pengajian, ini memberi lebih keyakinan kepada mereka untuk menjadi anggota yang mempunyai banyak maklumat dalam pelbagai disiplin.

“Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, anggota tentera walaupun datang dari pelbagai bidang pengajian berbeza, mereka boleh jika diberi peluang untuk menyambung pengajian dalam bidang lain dan lebih membentuk jati diri mereka,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, katanya mengikut data dalam laman sesawang LTAT memberikan gambaran bahawa pelaburan yang dibuat bernilai berbilion ringgit melalui pelbagai aktiviti ekonomi sejak zaman dahulu.

“Saya percaya sebagai syarikat yang telah berkecimpung sejak sekian lama, pelbagai garis panduan telah dilaksanakan.

“Soalan saya ialah kerangka tadbir urus syariah yang telah diterapkan pada semua institusi kewangan di negara kita telah pun ada panduannya, tetapi setakat manakah ia dilaksanakan dalam pengurusan LTAT,” katanya.

Beliau ingin tahu sama ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk LTAT akan melaksanakan kerangka tadbir urus syariah bagi memastikan segala urusan dan pentadbiran LTAT berjalan mengikut landasan syariah yang sepatutnya.

Selain itu, katanya Ketua Audit Negara pernah menegur LTAT pada 2020 berhubung tujuh isu berkaitan pengurusan GLC itu.

“Saya ingin tahu apakah tindakan lanjut yang LTAT ambil apabila ditegur kerana kita tidak mahu wang anggota tentera diurus tadbir dengan cara seperti yang ditegur oleh Ketua Audit Negara,” katanya.- HARAKAHDAILY 1/8/2022

- Advertisement -