Iktibar agung surah al-Isra’ (7)

- Advertisement -

PERBINCANGAN yang lepas telah memfokuskan mengenai dua perkara, iaitu salah satunya ialah beribadah kepada Allah S.W.T dan tidak mensyirikkan-Nya dalam bentuk berhala mahupun kepercayaan (ideologi). Contoh ideologi yang bercanggah dengan Islam ialah materialisme. Kemudian daripada materialisme, lahirnya Sekularisme, Liberalisme, Komunisme, Marxisme, Positivisme, Individualisme dan sebagainya. 

Asas kepada agama Islam ialah mempercayai perkara-perkara ghaib. Antaranya ialah Allah S.W.T yang tidak dapat kita lihat, dengar, sentuh atau rasai-Nya. Melainkan apabila di akhirat nanti seandainya kita dapat memasuki syurga, kita akan dapat melihat wajah Allah S.W.T [1]. Wajah-Nya tidak serupa dengan wajah makhluk. 

Malaikat juga merupakan makhluk ghaib. Kita tidak dapat melihatnya melainkan dengan izin-Nya. Ada yang dapat melihat malaikat contohnya dalam Perang Badar, para Sahabat Nabi dapat melihat ramai tentera yang berjubah putih dan berserban (malaikat) turut berperang bersama-sama mereka. Tentera Islam pada waktu itu seramai lebih kurang 313 orang. Malaikat juga ada menjelma dalam rupa yang sangat kacak seperti Dihyah Al-Kalbi (seorang sahabat Nabi) dalam beberapa riwayat [2]. 

Selain itu, makhluk ghaib yang lain ialah jin. Ada jin Islam dan jin kafir. Ia diperbuat daripada api yang paling panas manakala malaikat diperbuat daripada cahaya. Syurga dan neraka juga termasuk dalam perkara-perkara ghaib. 

Fahaman materialisme ibarat sebuah rumah manakala fahaman-fahaman lain pula ibarat jendela. Fahaman yang tersohor pada waktu sekarang ialah Liberalisme yang membenarkan kita untuk melakukan apa-apa sahaja. 

Perkara kedua yang telah difokuskan ialah berbuat baik kepada ibu bapa. Kita diminta supaya tidak berkasar dengan mereka dari segi perkataan bahkan perbuatan:

- Advertisement -

وَءَاتِ ذَا ٱلْقُرْبَىٰ حَقَّهُۥ وَٱلْمِسْكِينَ وَٱبْنَ ٱلسَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا

“Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.”

(al-Israk: 26)

Kita haruslah berbuat baik kepada kaum kerabat, orang miskin dan orang yang bermusafir. Yang pertama, hubungan dengan kaum kerabat haruslah dijaga dan elakkanlah pergaduhan jika tiada alasan yang munasabah. Hubungan dengan kaum kerabat boleh terjadi bukan atas faktor darah sahaja malah perkahwinan. Contoh menjaga hubungan adalah dengan kita saling menziarahi dan bertanya khabar. 

Yang kedua, berbuat baiklah kepada orang miskin. Nabi Muhammad S.A.W berkata bahawa dunia tegak kerana doa orang miskin [3]. Jika dia ialah seorang yang baik, doanya tiada hijab apatah lagi ketika dia dizalimi. Bumi menjadi berkat disebabkan oleh orang miskin dan binatang. Jika kita membantunya, dia akan berterima kasih kepaa kita dan dia melakukannya secara ikhlas. 

Yang ketiga, berbuat baiklah kepada orang yang bermusafir kerana mereka tidak tahu nak meminta bantuan daripada siapa. Cuma kita kena beringat dan berhati-hati juga kerana kini terdapat ramai ‘scammer’. Dalam usaha kita membantu orang lain, jangan pula sampai kita membazir ataupun bersikap boros dalam membelanjakan harta benda. 

إِنَّ ٱلْمُبَذِّرِينَ كَانُوٓا۟ إِخْوَٰنَ ٱلشَّيَٰطِينِ وَكَانَ ٱلشَّيْطَٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًا

“Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

(al-Israk: 27)

Sifat boros dan melampau merupakan sifat syaitan. Sifat syaitan adalah sifat orang yang tidak beriman. Contoh, ulamak menyarankan agar kita berjimat-cermat ketika mengambil air wuduk. Nabi Muhammad S.A.W menggunakan sebaldi air sahaja untuk mandi junub. Kadang-kadang Rasulullah S.A.W menggunakan sebaldi air itu dan berkongsi dengan Sayyidatina ‘Aisyah R.A [4]. 

Makhluk yang paling kufur ialah syaitan. Syaitan bekerja selama lebih 24 jam dan tidak tidur. Berfikir dan merancang bagaimana cara untuk menyesatkan kita. Orang yang menghabiskan hartanya dengan cara yang tidak baik adalah seperti syaitan. Jadi, berbelanjalah secara sederhana:

وَإِمَّا تُعْرِضَنَّ عَنْهُمُ ٱبْتِغَآءَ رَحْمَةٍ مِّن رَّبِّكَ تَرْجُوهَا فَقُل لَّهُمْ قَوْلًا مَّيْسُورًا

“Dan jika engkau terpaksa berpaling tidak melayani mereka, kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan hati.”

(al-Israk: 28)

Jika kita tidak mampu membantu keluarga, orang miskin atau orang yang bermusafir, jangan kita berkasar dengan mereka dan bercakaplah dengan baik agar mereka tidak berkecil hati:

وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ ٱلْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًا مَّحْسُورًا

“Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dalam keadaan yang tercela serta penuh penyesalan.”

(al-Israk: 29)

Dalam usaha membantu orang atau berbelanja, jangan sampai kita bersifat terlalu kedekut sehingga tidak menyumbang satu sen pun atau memberikan lebih daripada yang diminta. Almarhum Tuan Guru Nik Aziz pernah berpesan, “Belanja jangan sampai boros. Jimat jangan sampai kedekut.” Selama 5 tahun tempoh pemerintahan di Kelantan, kerajaan telah mengalami surplus. Walaupun dalam pembentangan bajet, kerajaan memberitahu bahawa ia akan mengalami bajet defisit. Surplus atau lebihan akan dibawa ke tahun hadapan dan bersedia untuk fasa kecemasan. Beginilah cara kerajaan Kelantan mentadbir.

Kerajaan pusat juga kelihatan sudah mula berjimat-cermat disebabkan oleh kegawatan ekonomi akibat COVID-19. Kesannya telah menyebabkan syarikat besar dan pertumbuhan ekonomi juga terjejas. Inflasi juga meningkat. Antara negara yang mengalami kadar inflasi yang tinggi ialah United Kingdom. 

Kisah Nabi Yusuf A.S perlu dicontohi dalam mengurus dan mentadbir negara dari sudut ekonomi. Seorang raja telah bermimpi mengenai tujuh ekor lembu yang gemuk, tujuh ekor lembu yang kurus, tujuh tangkai gandum yang berisi dan tujuh tangkai gandum yang kering. Lembu yang kurus memakan lembu yang gemuk. Raja itu tidak mampu mentafsirkan mimpinya hatta setelah dirujuk kepada orang-orang yang cerdik pandai. Mereka memberitahu bahawa ia hanya merupakan suatu mainan tidur. 

Ada dua orang banduan yang tinggal di dalam penjara bersama-sama Nabi Yusuf. Mereka telah bermimpi mengenai suatu mimpi yang sangat aneh. Salah seorang bermimpi yang dia menjunjung sebuah bekas yang berisi roti lalu burung datang memakannya. Baginda memberitahu bahawa dia akan mati dibunuh oleh raja. Manakala seorang lagi bermimpi yang dia menuangkan arak kepada raja. Baginda memberitahu bahawa dia akan dibebaskan oleh raja dan dapat bekerja di istana.

Orang yang dibebaskan itu teringat akan mimpinya yang berjaya ditafsirkan oleh Nabi Yusuf. Kesudahan bagi dua orang banduan itu ternyata benar seperti yang ditafsirkan oleh Baginda. Lalu, dia bertemu dengan raja dan menceritakan hal tersebut. Raja meminta supaya dia memanggil Baginda untuk menghadapnya. 

Sebelum bertemu dengan raja, Nabi Yusuf meminta supaya kesnya dibicarakan kerana Baginda dimasukkan ke dalam penjara akibat difitnah. Setelah raja memeriksanya, raja mendapati bahawa Baginda benar-benar dianiayai dan dituduhkan atas tuduhan yang palsu. Lalu, Baginda dibebaskan dan dibawa untuk menghadap raja. 

Pembebasan dan pengampunan adalah dua perkara yang berbeza. Dalam konteks pengampunan, seseorang itu didapati bersalah dan kemudian diampunkan oleh raja, sultan atau Agong. Bagi pembebasan pula adalah seseorang itu didapati tidak bersalah setelah dibicarakan semula dan dikeluarkan bukti yang baharu. Jika seseorang itu didakwa atas pertuduhan membunuh misalnya namun dia mengalami masalah mental, dia tidak akan dijatuhkan hukuman dan diampunkan, bukan dibebaskan tetapi akan dihantar ke pusat kesihatan berkenaan. 

Nabi Yusuf mentafsirkan mimpi raja itu bahawa tujuh ekor lembu yang berisi adalah umpama hasil negara berada dalam keadaan baik selama tujuh tahun. Namun setelah tujuh tahun berikutnya, negara akan mengalami kemelesetan ekonomi. Solusi yang ditawarkan oleh Baginda kepada raja adalah dengan melantik Baginda sebagai Menteri Kewangan agar khazanah negara dapat diuruskan dengan baik. 

Dalam tempoh tujuh tahun, urusan ekonomi dapat dijaga dengan jayanya. Apabila ekonomi jatuh, hampir seluruh kawasan di sekitar Mesir menghadapi kesusahan sehingga menyebabkan ramai pergi ke Mesir bahkan keluarga Nabi Yusuf sendiri untuk mendapatkan bantuan. Begitulah kehebatan dan kemakmuran pengurusan ekonomi pada waktu itu yang boleh dijadikan pedoman buat kita semua. 

Kalau kita bersifat kedekut, orang akan mencemuh kita. Kalau kita bersifat boros pula, orang sudah tidak akan mempedulikan kita:

إِنَّ رَبَّكَ يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقْدِرُ إِنَّهُۥ كَانَ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرًۢا بَصِيرًا

“Sesungguhnya Tuhanmulah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.”

(al-Israk: 30)

Allah S.W.T adalah penentu rezeki. Dia melapangkan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dia juga menyempitkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. 

Ada yang memperoleh rezeki yang banyak dan mudah. Antaranya berniaga secara dalam talian, menjual keropok, budu dan sebagainya. Ada pula sesetengah orang mengalami kesusahan. Misalnya pekerjaan mengayuh beca. Pendapatan pula tidak seberapa. 

Kerajaan ingin membantu dari segi menyumbangkan basikal elektrik, namun kena dicas pula. Kalau diberikan motosikal, kena beli minyak lagi dan bayar roadtax. Sekarang sudah berkurangan orang mengayuh beca kerana ianya meletihkan. Pakaian pun tidak boleh digayakan seperti M Daud Kilau kerana akan timbul syak wasangka. 

Oleh itu, kita kena redha dengan ketentuan-Nya. Kita hanya perlu berikhtiar dan mencari jalan untuk mencari rezeki. Hasilnya kita serahkan sahaja kepada-Nya. Sebab kadang-kadang pendapatan berniaga di tepi jalan itu melebihi daripada yang berniaga di kedai makan. 

Adakalanya, kemewahan boleh menjadikan seseorang itu baik manakala kemiskinan boleh menjadikannya jahat dan begitu juga sebaliknya:

وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَوْلَٰدَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَٰقٍ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْـًٔا كَبِيرًا

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.”

(al-Israk: 31)

Allah S.W.T melarang kita daripada membunuh anak. Jangan disebabkan oleh perasaan takut bakal jatuh miskin dan mengalami kesusahan, kita sanggup membunuh anak sendiri. Hal ini berlaku pada zaman jahiliyah. Mereka membunuh anak kerana takut bakal jatuh miskin dan jatuh maruah. Dalam Islam, haram hukumnya jika menggugurkan anak kecuali ada sebab yang sah dari segi kesihatan. Perbuatan menggugurkan kandungan adalah ibarat membunuh anak. Di akhirat nanti, anak yang dibunuh akan menyoal kita apa sebab kita membunuhnya. 

Jika ditakdirkan kita mempunyai anak yang ramai, usahlah berasa bimbang akan rezeki. Anak-anak kita masih boleh makan cuma makanan barangkali tidak mewah. Pada zaman dahulu, ada yang datang bertemu dengan Tok Kenali dan mengadu akan kesusahan yang dihadapinya dan dia mempunyai anak yang ramai. Dia meminta Tok Kenali mendoakannya supaya dikurniakan rezeki yang bertambah. 

Kemudian, dia dikurniakan anak lagi. Tok Kenali memberitahunya bahawa anak merupakan rezeki. Allah S.W.T telah pun menjamin rezeki seseorang. Semua makhluk sudah ditentukan rezekinya dan rezeki itu akan berterusan sehingga ke akhir nyawa cuma sama ada banyak ataupun sedikit. 

Ibarat pepatah Melayu, “Ulat dalam batu pun boleh makan.” Betapa tingginya tahap qada’ dan qadar orang Melayu terhadap ketentuan rezeki-Nya. Salah satu nama Allah daripada Asmaul Husna ialah Ar-Rozzaq (Yang Sentiasa Memberi). Kalau Ar-Roziq maksudnya ialah Yang Memberi. Oleh itu, keimanan kita akan membuatkan kita kaya jiwa dan tidak bergantung pada makhluk. 

Ada seorang sufi yang ingin membuktikan bahawa rezeki itu di tangan Allah S.W.T. Dia sanggup tidak makan langsung. Sehingga satu tahap di mana dia terlalu tenat, ada orang datang menyuapnya makanan. Jadi, mesejnya adalah rezeki akan datang selagi mana kita masih hidup. Bertawakallah kepada Allah S.W.T dan berdoalah di samping berikhtiar dalam mencari rezeki. 

Antara sebab rezeki orang beriman menjadi sempit adalah kerana hubungan dengan mak dan ayah bermasalah. Faktor kedua adalah akibat solat yang tidak dijaga. Jika kita tidak peduli akan Allah S.W.T, macam mana Dia nak peduli akan kita. Solat adalah asas dalam kehidupan. 

Jika kita berasa rezeki menjadi sempit, kita hendaklah sentiasa melazimi istighfar. Kerunsingan diri juga akan dihilangkan. Ada seorang pakcik yang hidupnya sangat susah tetapi dia teringin sangat nak pergi ke Makkah bagi mengerjakan ibadah haji. Tidak lama kemudian, dia dapat mengerjakan ibadah haji kerana ada orang yang tidak dikenali di Kuala Lumpur datang bertemu dengannya. Orang itu memberikan sejumlah wang kepadanya lalu meminta supaya dia mengerjakan ibadah haji atas nama arwah ayahnya. 

Justeru, kita kena yakin bahawa setiap masalah akan ada jalan penyelesaian apabila istighfar selalu kita amalkan. Nabi Muhammad S.A.W sendiri beristighfar lebih 70 kali istighfar sehari. Dari Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar (memohon ampun) kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya lebih dari tujuh puluh kali dalam sehari [5]”. Berbeza pula dengan kita, setelah selesai menunaikan solat Subuh, kita sudah berada di kedai makan sama ada untuk menjamu roti canai atau nasi berlauk. 

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 25 Julai 2022 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 30/7/2022

Rujukan:

[1] Hadis Riwayat Imam Muslim (no.hadis 180).

[2] Seperti Riwayat Imam Muslim (no.hadis 167) dan Imam Ahmad dalam musnadnya (10/102).

[3] Hadis berkenaannya ada diriwayatkan oleh Imam Bukhari (no.hadis 2896).

[4] Hadis Muttafaqun Alaih, Sahih al-Bukhari (no. hadis 261), dan Sahih Muslim (no.hadith 321).

[5] Hadis sahih riwayat Imam Bukhari (no.hadis 6307).

- Advertisement -