Antilompat: Dun Kelantan perlu buat pindaan baru

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan perlu membuat pindaan semula terhadap peraturan lompat parti untuk diselaraskan Rang Undang-undang (RUU) Lompat Parti yang diluluskan di Dewan Rakyat.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu diserahkan kepada kerajaan negeri untuk dilaksanakan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, Dewan Rakyat yang meluluskan RUU tersebut hanya membabitkan semua ahli parlimen, sementara DUN pula meluluskan untuk dilaksanakan semua wakil rakyat di peringkat negeri.

“Macam undi18, hanya terpakai kepada parlimen dan calon parlimen, untuk menguatkuasa kepada Adun, kena buat pindaan kepada perlembagaan baru boleh dikuatkuasakan.

“Begitu juga dengan RUU pindaan antilompat parti, selagi negeri tidak gunapakai dan ia tidak akan terpakai kepada Adun, jadi DUN perlu pinda perlembagaan untuk guna pindaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kota Bharu diadakan di Hotel H Elite Bandar Baru Tunjung di sini hari ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, kerajaan negeri Kelantan pernah mengubal Enakmen Antilompat Parti pada tahun 1991 melibatkan kes dua Adun Semangat keluar parti.

Susulan itu, wakil rakyat dari Semangat 46 itu mencabar keputusan kerajaan negeri di mahkamah kerana melucutkan kedudukannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang dan Limbongan.

Jelas beliau lagi, pilihan raya kecil diadakan dan mahkamah kemudiannya membatalkan enakmen tersebut kerana didapati bercanggah dengan peraturan perlembagaan negara.

“Atas kes inilah kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menguatkuasa RUU lompat parti ini 28 Julai lalu, jadi Kelantan kena pinda semula undang-undang tersebut memandang yang dahulu tidak terpakai,” katanya.

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan pada Khamis lepas.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, seramai 209 ahli parlimen bersetuju dan 11 lagi tidak hadir menerusi undi belah bahagian di Dewan Rakyat. – HARAKAHDAILY 27/7/2022

- Advertisement -